Pinda RUU355: 'Adakan sesi penerangan umum'

( Mohd Fadzli) Sinar Harian sebelum ini melaporkan sesi libat urus mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
( Mohd Fadzli) Sinar Harian sebelum ini melaporkan sesi libat urus mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
A
A
A

KUANTAN - Sesi penerangan umum wajar dipertimbangkan oleh pihak berkaitan terhadap butiran pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, ia merujuk kepada pengumuman pindaan RUU 355 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar pada Ahad.

Menurutnya, sesi penerangan itu diadakan supaya ia lebih mudah difahami oleh masyarakat bagi mengelakkan kekeliruan atau polemik yang disengajakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Amanah Pahang melihat ia merupakan usaha yang positif oleh Kerajaan Perpaduan bagi memperkukuhkan pelaksanaan hukuman dalam bidang kuasa jenayah di Mahkamah Syariah di negara ini.

"Kita menyambut baik usaha tersebut dan percaya bahawa cadangan pindaan RUU355 yang dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telahpun berada di peringkat akhir, merangkumi sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan.

"Oleh yang demikian, cadangan tersebut dipercayai turut mengambil kira pelbagai aspek pelaksanaannya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya lagi, pada sudut yang lain, terdapat isu utama yang perlu dirungkai iaitu berhubung peruntukan Perlembagaan Persekutuan terhadap bidang kuasa jenayah di Mahkamah Syariah.

"Justeru, Jawatankuasa Khas bagi mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditubuhkan baru-baru ini, perlu diberikan tempoh masa yang wajar untuk membuat kajian secara mendalam.

Artikel Berkaitan:

"Seterusnya, mengemukakan syor-syor berhubung bidang kuasa negeri dalam menggubal Undang-undang Jenayah Syariah termasuk mempertimbangkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan kepada Majlis Kebangsaan Islam (MKI) yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja," jelasnya.

Katanya, berdasarkan perkembangan ini, Kerajaan Perpaduan hari ini terbukti sangat serius dan cermat dalam usaha menyelesaikan pertikaian bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

"Amanah Pahang menyokong penuh usaha memartabatkan undang-undang syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah tersebut.

"Usaha murni pihak kerajaan demi menjunjung tinggi syiar Islam ini wajar didokong oleh segenap lapisan masyarakat muslim khususnya ahli-ahli Parlimen," tambahnya.