'Inilah masa paling sesuai bentang RUU 355'

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menyifatkan tahun ini adalah masa paling sesuai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dibentangkan di Parlimen.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, langkah itu juga sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam usaha untuk memperkasakan peranan Mahkamah Syariah.

"Saya kira dalam tempoh waktu ini RUU355 sangat wajar untuk dibentangkan segera.

"Sekarang waktunya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) membuktikan bahawa kerajaan benar-benar cakna untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dan undang-undang syariah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berkaitan sesi libat urus mengenai RUU 355 yang kini di peringkat akhir.

Media pada Ahad melaporkan, laporan RUU 355 akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata, sesi libat urus dikendalikan Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah berada di peringkat akhir.

Dalam pada itu, Mohamed Sukri yakin kesungguhan kerajaan akan dapat menyelesaikan isu berkaitan RUU 355 dan Pemuda Pas Selangor menyokong penuh sekiranya ia dapat dibentangkan di Parlimen.

Artikel Berkaitan: