RUU 355 tidak beri kesan kepada keputusan kes Nik Elin - Mohd Na'im

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa keputusan mahkamah dalam kes Nik Elin Zurina dapat dielak sekiranya Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) dibentangkan sebelum Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara, disifatkan tidak benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, dakwaan berkenaan juga tidak tepat kerana RUU 355 melibatkan isu keinginan serta hasrat untuk menambah had hukuman yang diberikan kepada mahkamah-mahkamah syariah.

“Jadi kita kena bezakan, RUU 355 ini memperuntukkan hukuman sahaja yang diberikan dalam bidang kuasa mahkamah-mahkamah syariah tetapi keputusan Mahkamah Persekutuan menjurus kepada kesalahan itu sendiri (seperti) kesalahan liwat, bukan hukuman bagi kesalahan liwat.

“Jadi apa yang boleh kita simpulkan bahawa dakwaan mengatakan sekiranya RUU 355 ini dibawa segera oleh Kabinet dan kemudian dibawa ke Parlimen sudah tentu keputusan Nik Elin ini akan berlainan itu salah dan tidak tepat.

“Sebab keputusan Nik Elin lebih menjurus kepada kesalahan bahawa kesalahan liwat sebagai contohnya, tidak boleh digubal di bawah enakmen jenayah syariah negeri Kelantan sebab badan perundangan negeri Kelantan tidak ada bidang kuasa, ia di bawah bidang kuasa Parlimen untuk membuat kesalahan liwat ataupun sodomi,” katanya.

Beliau turut berharap semua pihak memahami kedudukan sebenar tentang keputusan yang telah dibuat di dalam kes Nik Elin di Mahkamah Persekutuan dan juga dakwaan kegagalan kerajaan untuk membawa RUU 355 yang memberi kesan ataupun yang boleh mengubah keputusan terlibat.

“... kita simpulkan bahawa walaupun RUU 355 ini dibawa ke Parlimen dan kemudiannya digubal, ia tidak memberi kesan kepada keputusan dalam kes Nik Elin,” ujarnya.

Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!