Lima laporan polis ugutan bunuh Nik Elin diterima di KL

Laporan Sinar Harian. Saifuddin (kanan). Foto: Bernama
Laporan Sinar Harian. Saifuddin (kanan). Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lima laporan berkaitan dakwaan ugutan bunuh terhadap peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kesemua laporan polis yang diterima itu dibuat di Kuala Lumpur.

"Empat daripada laporan itu dibuat di Sri Hartamas manakala satu lagi laporan dibuat di Jinjang.

“Kita monitor (pantau) kes ini di seluruh negara. Sehingga semalam (Khamis), hanya lima laporan (polis) diterima di Kuala Lumpur dan pihak polis tidak memandang enteng mengenai ancaman yang membabitkan nyawa,“ katanya pada sidang akhbar selepas membuat lawatan di kuarters Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan.

Saifuddin berkata, pihak polis tidak memandang enteng berkaitan ugutan bunuh yang diterima Nik Elin kerana tugas polis adalah menjaga keamanan masyarakat.

“Apabila ada aduan diterima, tindakan akan diambil bagi mengesan individu yang bertanggungjawab. Setakat ini, belum ada tangkapan suspek dalam kes ini,” ujarnya.

Sabtu lalu, Nik Elin Zurina memaklumkan menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya itu sebelum membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28