Ugut bunuh Nik Elin: Polis tunggu laporan SKMM

Nik Elin Zurina (kanan) bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha ketika keluar dari Istana Kehakiman pada Jumaat lalu. Gambar kecil: Allaudeen.
Nik Elin Zurina (kanan) bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha ketika keluar dari Istana Kehakiman pada Jumaat lalu. Gambar kecil: Allaudeen.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan bunuh ke atas peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sebelum ini telah membuka tiga kertas siasatan membabitkan dakwaan ugutan bunuh tersebut.

"Satu kertas siasatan telah selesai dan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), manakala dua lagi dalam siasatan.

“KIta masih menunggu laporan SKMM dan sebagainya, apabila kita dapat (laporan), ia akan dilengkapkan sebelum diserahkan kepada TPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Balai Polis Alam Damai, di sini, pada Khamis.

Tambahnya, pihak polis telah mengenal pasti individu terlibat namun tiada sebarang tangkapan setakat ini.

Dalam pada itu, Allaudeen meminta orang ramai agar tidak menjadikan isu ini sebagai polemik.

“Isu ini berkaitan bidang kuasa membuat undang-undang antara Parlimen dengan Dewan Undang Negeri sepertimana kita lihat dalam penghakiman.

“Jadi, jangan kita terarah ke isu lain. Selepas selesai siasatan, pendakwaan akan putuskan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Nik Elin Zurina memaklumkan menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya itu sebelum membuat tiga laporan polis.

Sebelum itu, pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.