16 peruntukan dalam Enakmen Syariah Kelantan terbatal - Hakim

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat, mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Keputusan majoriti dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Selain Tengku Maimun, hakim lain yang menyokong ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Ia termasuk Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Sementara Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli menentang petisyen berkenaan.

Berdasarkan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang tersebut.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Natasha Tengku, 26, memfailkan petisyen terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enekmen itu, terbatal dan tidak sah.

Artikel Berkaitan:

18 peruntukan yang dipertikaikan tersebut ialah:

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat - tidak sah

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral- sah

Seksyen 14: Liwat - tidak sah

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat - tidak sah

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia - tidak sah

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan - sah

Seksyen 31: Gangguan seksual - tidak sah

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu - tidak sah

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan - tidak sah

Bahagian 39: Mengurangkan timbangan, ukuran dan berat - tidak sah

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan 'hukum syarak' (undang-undang syariah) - tidak sah

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba - tidak sah

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal - tidak sah

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat - tidak sah

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat - tidak sah

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan - tidak sah

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram - tidak sah

Seksyen 48: Muncikari (ibu/ bapa ayam atau perantara pelacuran) - tidak sah

Pada 17 Ogos 2023, mahkamah mendengar penghujahan peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili kedua-dua pempetisyen ini manakala peguam, Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan selaku responden tunggal; peguam, Yusfarizal Yussoff selaku peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Semasa hujahan, Malik Imtiaz berkata, Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut kerana 18 peruntukan itu bertindih dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Beliau berkata, peruntukan tersebut juga tidak sah kerana peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan itu merupakan bidang kuasa Parlimen.

Sementara itu, Kamaruzaman berhujah, peruntukan yang dicabar itu merupakan kesalahan yang dilakukan terhadap perintah agama Islam yang termasuk di bawah Butiran 1, Senarai Negeri, bukan undang-undang jenayah yang tertakluk kepada Butiran 4(h), Senarai Persekutuan.

Beliau turut memohon mahkamah mengkaji semula penghakiman kes Iki Putra Mubarrak berhubung isu serupa kerana terdapat beberapa bahagian dalam penghakiman Iki Putra yang disifatkan tidak boleh dikekalkan.

Kamaruzaman turut memohon mahkamah meneliti penghakiman itu yang menyatakan enakmen kesalahan syariah yang termasuk dalam senarai Persekutuan, secara automatik adalah terbatal.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Pada 20 November 2023, panel sembilan hakim itu turut mendengar penghujahan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bahawa Badan Perundangan Negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubal 18 peruntukan undang-undang itu.

Beliau yang mewakili Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) selaku peguam pemerhati berkata, tiada satu pun peruntukan undang-undang yang dicabar oleh Nik Elin Zurina dan anaknya, tertakluk di bawah 27 senarai undang-undang Persekutuan.

Katanya, kuasa Parlimen adalah menggubal undang-undang dalam senarai Persekutuan yang mengandungi 27 item, namun ia tidak boleh menggubal undang-undang di luar daripada 27 item yang disenaraikan.

Menurutnya, pempetisyen juga gagal membuktikan bahawa penggubalan 18 peruntukan itu tidak selari dengan undang-undang syariah dan kekeluargaan Islam yang mewajarkan ia dibatalkan oleh mahkamah.

Dalam permohonan ini, pemerhati-pemerhati lain yang terlibat ialah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Badan Peguam Malaysia turut bertindak selaku pemerhati.

Mahkamah turut mendengar penghujahan pihak-pihak yang bertindak selaku sahabat mahkamah (Amicus Curiae) dalam petisyen tersebut iaitu Sisters In Islam Forum (SIS) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

SIS dan Badan Peguam telah menyokong petisyen Nik Elin manakala yang lain membantah.

Sementara itu, pada Oktober tahun lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perikatan Nasional (PN) mengambil serius cabaran terhadap mahkamah syariah yang bermula dari kes Iki Putra sebelum ini.

Ini kerana katanya, implikasi kes berkenaan sangat besar kepada seluruh undang-undang Mahkamah Syariah di negara ini.

Beliau berkata, jika ia berlaku (permohonan Nik Elin Zurina diluluskan mahkamah), perkara itu akan menyebabkan sebahagian besar bidang kuasa Mahkamah Syariah terhapus.