'Pinda perlembagaan, selesaikan isu kepincangan' - Haniff Khatri

Haniff Khatri
Haniff Khatri
A
A
A

SHAH ALAM - Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memberi kuasa yang jelas memandangkan takrifan mengenai peruntukan undang-undang jenayah Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah berbeza.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah menunjukkan kepincangan yang wajar diselesaikan.

Menurutnya, permasalahan yang wujud ketika ini disebabkan perkara yang dibenarkan untuk digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai undang-undang syariah tidak dijelaskan dengan lengkap.

“Sebenarnya, apabila kes Iki Putra diputuskan pada 2021, tak sampai tempoh tiga minggu, para peguam berkaitan sudah membuat petisyen mengenai cadangan pindaan yang perlu dibawa dan diserah kepada ahli Parlimen pada masa itu.

“Malangnya, ia tidak dilihat dan diteliti untuk buat sebarang penyelesaian sejak tiga tahun lalu kerana kes Iki Putra ini adalah pelopor kepada isu yang dibawa Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid ketika ini.

“Ia perlu diselesaikan dan jangan membebankan mahkamah kerana mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menggubal, meminda atau memansuhkan undang-undang sebaliknya terletak kepada Parlimen dan untuk negeri ialah DUN,” katanya.

Dari kiri: Finaz, Muhamad Asri dan Haniff Khatri pada program Di Sebalik Isu bersama FY yang bertajuk 'Kuasa mahkamah mudah dicabar, mana silapnya?' di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
Dari kiri: Finaz, Muhamad Asri dan Haniff Khatri pada program Di Sebalik Isu bersama FY yang bertajuk 'Kuasa mahkamah mudah dicabar, mana silapnya?' di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sewaktu program Di Sebalik Isu bersama FY yang bertajuk ‘Kuasa mahkamah mudah dicabar, mana silapnya?’ di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Program itu dihos Finaz Yunus dan turut menampilkan bekas Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah.

Tambah Haniff Khatri, ia merupakan satu kesalahan untuk mana-mana pemimpin politik menuding jari kepada mahkamah ke atas keputusan kes Nik Elin atau Iki Putra.

“Ini kerana mahkamah hanya boleh memberi tafsiran dan takrifan kepada undang-undang bertulis sama ada Perlembagaan mahupun undang-undang biasa atau enakmen-enakmen negeri.

“Harus sedar bahawa kesan daripada pembatalan sesuatu peruntukan di negeri itu menyebabkan pihak berkuasa tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyoal, menangkap dan menyiasat.

“Ada undang-undang memang terpakai untuk semua orang tetapi yang kita risaukan ialah yang khusus untuk orang Islam, di sinilah perlunya pindaan dibuat bukan sahaja kepada kuasa negeri malah apa itu Jenayah Sivil di bawah senarai satu,” ujarnya.

Haniff Khatri berkata, Mahkamah Syariah tidak boleh dikelaskan sebagai kelas kedua hanya disebabkan ia digubal di peringkat negeri.

“Apabila pindaan dibuat pada 1988, maka perlembagaan telah mengiktiraf Mahkamah Syariah tetapi sebab Islam terletak di bawah negeri, mahkamah setiap negeri boleh diwujudkan cuma oleh negeri-negeri berkenaan.

“Bagaimanapun, kuasa mengiktiraf untuk menggubal ini datang dari perlembagaan,” katanya lagi