Undang-undang syariah: Negeri Sembilan akan rujuk jawatankuasa khas ditubuh MKI

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan merujuk kepada ketetapan diputuskan oleh jawatankuasa khas yang telah dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sekiranya timbul sebarang isu berhubung undang-undang syariah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau menyambut titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Sehubungan itu katanya, tiada keperluan buat masa ini untuk kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas seperti mana dilakukan negeri Kedah ekoran isu yang timbul membabitkan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.

"Buat masa ini, belum ada arahan untuk tubuh jawatankuasa khas kerana kita yakin apa Persekutuan lakukan di bawah MKI.

"Ia sudah cukup untuk kita rujuk mengenai apa kesannya dan tindakan perlu diambil di peringkat negeri selepas ini," katanya ditemui pemberita pada Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Khamis malam .

Ujar Aminuddin, senarai jawatankuasa di bawah MKI itu juga melibatkan pihak yang mempunyai autoriti dalam bidang tersebut seperti bekas hakim, hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah.

Sehubungan itu beliau berharap pada masa akan datang apa saja undang-undang yang akan dibawa dalam Rang Undang-Undang di peringkat negeri atau enakmen di negeri lebih tersusun serta mempunyai prosedur operasi standard (SOP).

"Ini pengajaran kepada kita dan selepas ini ia akan jadi lebih teratur serta lebih baik kerana kita telah dipandu oleh bekas ketua hakim dan bekas hakim yang akan membantu kita mengubal sesuatu enakmen pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Setiap enakmen yang dibuat perlulah lebih menyeluruh. Kadang-kadang kita buat untuk enakmen agama Islam, tapi kita lupa ia bertentangan dengan Persekutuan," katanya.

Oleh sebab itu beliau berpendapat dengan tertubuhnya jawatankuasa terbabit, ia akan lebih memudahkan semua negeri menyediakan sesuatu enakmen pada masa akan datang.

Beliau juga berpendapat isu tersebut tidak perlu dipanjangkan lagi dan percaya ia akan dapat ditangani dengan baik.

"Saya harap perkara ini dapat ditenangkan kerana ia bukan isu yang tak boleh ditangani dengan baik.

"Ia boleh diselesaikan dengan bijaksana oleh Tuanku (Pengerusi MKI) dan jawatankuasa dilantik yang pastinya akan melihat segala ruang dan kebaikan undang-undang syariah serta undang-undang Persekutuan," katanya.