Pesakit hidap kanser usus paling tinggi di Terengganu
KUALA NERUS - Pesakit menghidap kanser kolorektal atau kanser usus besar paling tinggi direkodkan di Terengganu pada tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong.
Beliau menyatakan lima kes kanser tertinggi di negeri ini adalah kanser kolorektal iaitu 123 kes (19.8 peratus) dan diikuti kanser payudara 85 kes (13.7 peratus) serta kanser paru-paru 69 kes (11.1 peratus).
Selain itu, katanya, leukemia pula merekodkan sebanyak 45 kes (7.2 peratus) dan kanser tiroid ialah 29 kes (4.7 peratus).
"Jumlah pesakit kanser baharu di negeri ini terus meningkat kepada 621 orang pada tahun 2023 berbanding 575 orang pada tahun 2022.
"Daripada jumlah itu (621 kes), sebanyak 350 kes kanser atau 56.6 peratus yang didiagnos adalah dalam kalangan kaum wanita berbanding 270 orang (49 peratus) kaum lelaki.
"Kita akan terus memberi pendedahan terhadap langkah pencegahan selain saringan awal kepada penduduk Terengganu berhubung ancaman kanser dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri Terengganu di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, ramai pesakit kanser hanya tampil membuat saringan setelah keadaan kesihatan mereka bertambah teruk ketika berada pada tahap kritikal.
Katanya, pesakit tersebut hanya dapat didiagnos apabila kanser mereka sudah berada di tahap tiga atau empat.
"Ini terbukti apabila 59.3 peratus kes kanser kolorektal dan 56.5 peratus kes kanser payudara dikesan pada tahap tiga dan empat.
"Selain itu, lapan pesakit lesi mulut telah didiagnosis sebagai Kanser Mulut hasil saringan di Klinik Pergigian dengan empat daripadanya dikesan telah pun berada pada tahap keempat," jelasnya.
Justeru, Dr Kasemani berharap orang ramai mempunyai kesedaran berhubung bahayanya kanser dan kepentingan pemeriksaan sendiri.
"Saringan harus dipertingkatkan agar penyakit kanser dapat dikesan awal. Satu per tiga daripada penyakit kanser boleh dicegah jika dibuat saringan awal seperti kanser payudara, kanser kolorektal dan kanser serviks.
"Pengesanan awal juga dapat membantu prognosis penyakit yang lebih baik. Sempena bulan kesedaran kanser ini juga, kami turut meningkatkan aktiviti kempen untuk komuniti melalui pelbagai medium," ujarnya.