Bekas Naib Canselor UPSI bebas tuduhan salah guna kuasa

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa daripada tuduhan salah guna kuasa dengan memasukkan nama anak lelakinya untuk ditemuduga di universiti berkenaan, 10 tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Zakaria, 67, yang hadir ke mahkamah berkerusi roda untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 yang diputuskan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2 Jun 2023.

Hakim Hadhariah dalam keputusan sebulat suara berkata, mahkamah mendapati keterangan yang dikemukakan tidak memenuhi intipati pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

"Perayu (Zakaria) dikatakan memasukkan nama saksi pendakwaan kesembilan (SP9) Mohd Fauzi Zakaria (anak perayu) untuk dipanggil temuduga, sedangkan keterangan saksi pendakwaan keempat (SP4) (pembantu tadbir UPSI) dan saksi pendakwaan kelima (SP5) (pegawai tadbir UPSI) menyatakan SP9 ada membuat permohonan secara dalam talian dan beliau layak untuk menghadiri temuduga.

"SP4 dan SP5 juga menyatakan mereka tidak dipengaruhi oleh perayu untuk membuat keputusan mengangkat nama SP9 untuk hadir temuduga. Berdasarkan keterangan SP4 dan SP5, kami mendapati sabitan ke atas perayu tidak selamat.

"Oleh itu, sabitan dan hukuman oleh hakim Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu dilepas dan dibebaskan,” katanya yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Selepas keputusan itu, ahli keluarga perayu yang berada di galeri awam menangis sambil mengucapkan ‘Alhamdulillah’.

Mengiku pertuduhan, Zakaria didakwa sebagai Naib Canselor UPSI telah menggunakan jawatannya berhubung perkara yang beliau mempunyai kepentingan apabila mengarahkan Mohd Faizi Othman iaitu pendaftar UPSI untuk memasukkan nama anak lelaki Zakaria, Mohd Fauzi untuk dipanggil temuduga pada 12 September 2014.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik Naib Canselor, Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselor, UPSI, Tanjung Malim antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, 24 Jun hingga 12 September 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pada 3 Disember 2019, Mahkamah Sesyen Ipoh melepas dan membebaskan Zakaria daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan untuk mengetepikan keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Ipoh dan pada 2 Jun 2023, mahkamah mengetepikan keputusan tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan serta denda RM10,000 ke atas Zakaria.

Prosiding hari ini turut dihadiri pasukan peguam mewakili Zakaria iaitu Awang Armadajaya Awang Mahmud, Shahidah Muslimah Roslan, Hasshahari Johari Mawi, Mohd Radzlan Jalaludin dan Muhamad Hafizan Shafuan Kamarulzaman manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Karim dan Maziyah Mansor.

Terdahulu, Awang Armadajaya berhujah saksi pendakwaan pertama (pendaftar UPSI) adalah saksi yang tidak boleh dipercayai kerana keterangannya bercanggah dengan keterangan saksi pendakwaan keempat dan kelima.

"SP1 (saksi pendakwaan pertama) menyatakan anak perayu tidak membuat permohonan untuk menghadiri temuduga menerusi dalam talian, sedangkan SP4 dan SP5 yang membuat pemeriksaan senarai nama temuduga, menyatakan nama anak perayu ada dalam senarai tersebut,” katanya.

Menurut peguam itu, arahan anak guamnya kepada pendaftar UPSI berkenaan iaitu ‘tolong tengok-tengokkan’ merupakan arahan yang tidak terjumlah dalam suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Atiqah berkata, nama anak perayu dimasukkan dalam senarai temuduga adalah atas permintaan perayu, sedangkan perayu dan SP1 mengetahui anak perayu tidak melepasi tapisan awal dan tidak layak untuk dipanggil temuduga.

"Apabila perayu meminta SP1 untuk 'tengok-tengokkan' nama-nama yang diberikan perayu kepada beliau (SP1), adalah secara tidak langsung perayu meminta SP1 untuk memasukkan nama-nama yang diberikan termasuk nama anaknya di dalam senarai temuduga,” katanya. - Bernama