Ketua pembantu tadbir didakwa salah guna kuasa

Tertuduh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Selasa atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa melibatkan kerja-kerja perolehan bekalan.
Tertuduh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Selasa atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa melibatkan kerja-kerja perolehan bekalan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas sembilan pertuduhan menyalah guna kedudukan bagi kerja-kerja perolehan bekalan yang bernilai lebih RM23,000 antara Oktober 2019 hingga Mac 2022.

Bagaimanapun, tertuduh, Nor Akma Abd Ghani, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga Ketua Pembantu Tadbir didakwa menggunakan jawatan untuk suapan dengan mengambil tindakan menyokong Borang Pesanan Pembelian bagi perolehan bekalan barangan asrama dan dua rumah tamu kenamaan berjumlah RM3,800 kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan adik iparnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Latihan Kemas Terengganu (PLKT) di daerah Kuala Nerus pada Oktober 2019.

Selain itu, tertuduh juga berdepan lapan lagi pertuduhan melibatkan nilai antara RM400 hingga RM3,600 antaranya membabitkan perolehan perkhidmatan makan minum dan perolehan bekalan bahan mentah basah kering bagi beberapa penganjuran kursus dan program.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) akta yang sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes itu dikendalikan, Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd Yusof sementara tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Shafiq Syed Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan ke pejabat SPRM sehingga kes selesai.