Beri kuasa administratif lapor salah guna kuasa ahli politik - MHO

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hishamuddin
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hishamuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan penubuhan badan pengawasan bebas untuk mengaudit pegawai kerajaan khususnya ahli politik perlu diberi kuasa administratif dari segi penyiasatan atau melaporkan salah guna kuasa sepanjang tempoh pentadbiran.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, saranan itu penting bagi memastikan setiap setiap ahli politik tidak melanggar kod etika dalam mentadbir urus organisasi atau pertubuhan.

Menurutnya, walaupun cadangan tersebut belum jelas pelaksanaannya, namun ia berupaya membantu mengekang kes berkaitan rasuah atau salah guna kuasa dalam tadbir urus negara.

“Saya menyokong sekiranya badan bebas ini bukan sekadar menjadi pemantau, tetapi mereka perlu diberi kuasa menjalankan tindakan administratif supaya ahli politik yang melanggar etika tidak dibenarkan meneruskan kerja atau keahlian dalam parti.

“Pada pandangan saya, cadangan ini penting bagi memastikan integriti negara terus terpelihara kerana ia melibatkan kepentingan awam dan reputasi parti politik,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan sebuah badan pengawasan bebas ditubuhkan dan diberi kuasa untuk melaksanakan audit serta semakan berkala terhadap tingkah laku pegawai awam khususnya ahli politik.

Ismail Sabri berkata, ini bagi memastikan mereka mematuhi standard yang telah dipersetujui dan diterima umum.

Mengulas lanjut, menurut Hishamuddin, jika penubuhan badan pengawasan bebas tidak berupaya mengekang masalah integriti, dikhuatiri perkara tersebut akan memberi kesan terhadap negara.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, antara tindakan yang boleh dilakukan adalah menyenarai hitam ahli politik yang tidak mematuhi undang-undang, melarang mereka daripada menyertai mana-mana parti termasuk menerajui pertubuhan sama ada milik kerajaan atau swasta.

“Mereka yang terlibat dengan kesalahan integriti tidak boleh lagi menceburi bidang politik untuk memupuk kembali kepercayaan rakyat,” katanya.