ECRL Sungai Chinchin: Penduduk tuntut tanah ganti, pampasan setimpal

Keadaan semasa projek ECRL Sungai Chinchin.
Keadaan semasa projek ECRL Sungai Chinchin.
A
A
A

GOMBAK - Meskipun kerja perobohan telah dimulakan namun penduduk berharap beberapa isu berbangkit termasuk gantian tanah rizab masjid serta pampasan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Sungai Chinchin tidak diabaikan.

Wakil penduduk, Zainol Akmal Abd Rani, 40, berkata, isu utama yang menjadi kebimbangan penduduk membabitkan penyahwartaan tanah rizab masjid seluas sembilan ekar (3.64 hektar) yang tiga ekar (1.21 hektar) daripadanya telah digunakan untuk projek tersebut.

Menurutnya, tanah berkenaan menjadi rizab masjid sejak 1922 namun telah dibatalkan Oktober tahun lalu tanpa diberikan penjelasan konkrit berkenaan tindakan tersebut.

Masjid lama yang mempunyai sejarah tersendiri di Sungai Chinchin.
Masjid lama yang mempunyai sejarah tersendiri di Sungai Chinchin.

Katanya, situasi itu menimbulkan tanda tanya berkenaan status perancangan pembinaan masjid baharu di atas sebahagian tapak berkenaan.

"Tanah rizab ini sepatutnya untuk tujuan pembinaan masjid sahaja tetapi apabila dibatal warta, ECRL yang dapat tanah tersebut.

Masjid Sungai Chinchin sedia ada.
Masjid Sungai Chinchin sedia ada.

"Sejak 2006 jawatan kuasa masjid sudah mempunyai cadangan pembinaan masjid baharu selain membuat kutipan dana bagi tujuan tersebut mencecah RM290,000.

Artikel Berkaitan:

"Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sendiri pernah mengumumkan dana sejumlah RM7 juta diperuntuk bagi tujuan sama," katanya berhubung projek ECRL di Sungai Chincin.

Minggu lepas, beberapa struktur termasuk bengkel serta tabika KEMAS atas tapak berkenaan telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek tersebut.

Perobohan struktur atas tanah kerajaan yang sebelum ini merupakan rizab masjid.
Perobohan struktur atas tanah kerajaan yang sebelum ini merupakan rizab masjid.

Zainol Akmal berkata, tapak pembinaan masjid baharu itu juga terpaksa diubah susulan terlibat jajaran ECRL.

"Rancangan asal mahu bina masjid di dataran Sungai Chinchin, namun selepas pasti kawasan tersebut terlibat jajaran ECRL, pelan masjid terpaksa diubah ke tanah kosong lain.

"Kami tuntut tanah tiga ekar (1.21 hektar) yang diambil ECRL itu digantikan kerana setakat ini belum mendapat jawapan rasmi berkenaan isu tersebut," katanya.

Pampasan biar setimpal

Dalam pada itu, difahamkan terdapat kira-kira sembilan lot tanah individu terlibat dalam jajaran ECRL Sungai Chinchin.

Antara rumah yang terlibat dalam jajaran ECRL Sungai Chinchin.
Antara rumah yang terlibat dalam jajaran ECRL Sungai Chinchin.

Salah seorang penduduk terlibat, Kahar Moordi, 66, berkata, dia telah dua kali dipanggil bagi perbincangan pampasan membabitkan pengambilan satu ekar tanah yang mempunyai lima nama dalam satu geran.

"Perbincangan telah bermula sejak hujung tahun lepas namun belum ada kata putus berkenaan jumlah pampasan.

"Setakat ini, kadar yang ditawarkan sangat rendah kerana berstatus tanah pertanian. Kami ditawarkan RM42 bagi satu kaki persegi, sedangkan perunding swasta buat penilaian RM80 bagi keluasan sama," katanya.

Anak jati Selangor itu berkata, pembinaan tiang jajaran yang kian rancak di lokasi projek membuatkannya bimbang kemungkinan keputusan rundingan pampasan akan dimuktamad pada bila-bila masa dari sekarang.

Dia berharap pampasan yang diberikan biar setimpal dengan kedudukan Gombak yang terletak bersempadan dengan Kuala Lumpur.

Pada masa sama dia berharap Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari datang ke Sungai Chinchin dan mendengar keluhan dihadapi penduduk terlibat.

"Saya duduk tanah bergeran, ada hak tuntut pampasan setimpal supaya wang tersebut boleh digunakan untuk penempatan baharu yang sebolehnya mahu sekitar Gombak juga.

"Saya harap penduduk terjejas ini diberikan tanah berserta kemudahan asas seperti jalan dan bekalan elektrik serta air bagi kami memulakan kehidupan di tempat baharu," katanya.

Pembangunan jangan belakangkan status kampung tradisi

Mohd Syaaban Anuar, 26 yang merupakan generasi keempat penduduk Sungai Chinchin berkata, pemaju digesa tidak ambil mudah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang projek berjalan selain pemantauan berterusan oleh pihak berwajib.

"Tiga tahun kami perlu hadap projek ini. Peringkat awal ini saja sudah hadapi gangguan bunyi bising dan isu keselamatan susulan lokasi projek berhampiran kawasan perumahan.

Tiang jajaran ECRL yang telah dipasak di Sungai Chinchin.
Tiang jajaran ECRL yang telah dipasak di Sungai Chinchin.

"Ada juga sudah kedengaran rumah retak dan batu sangkar sungai yang turut terjejas.

"Kami tidak halang pembangunan namun mahu pihak berkaitan memberi perhatian serius terhadap aduan serta tuntutan yang disuarakan.

"Kami hanya dapat habuk dan bunyi bising hasil pembangunan ECRL di sini. Penduduk berharap pembangunan yang dijalankan tidak memberi mudarat teruk kepada kampung tradisi kami," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor merangkap Ketua UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengatur pertemuan antara jawatankuasa penduduk dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi ruang perbincangan.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara yang dilihat tidak jelas dari peringkat awal berkaitan tuntutan dibuat penduduk berkenaan projek berkenaan.

"Saya sedikit ralat sepatutnya isu berbangkit ini mampu diselesaikan di peringkat awal lagi jika gerakan bersepadu dibuat.

"Ini kerana projek ini bukan hanya libatkan MRL dan CCC tetapi juga melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak juga Majlis Perbandaran Selayang (MPS)," katanya.

Beliau turut meluahkan kekecewaan susulan masalah dihadapi penduduk hanya diketahui selepas semua rundingan telah selesai.

"MRL memaklumkan untuk ubah keputusan yang telah dipersetujui sebelum ini adalah mustahil kerana projek telah berjalan.

"Bagaimanapun, MRL selaku pemilik projek menyatakan kesediaan membantu atas sifat kemanusiaan dengan tidak mengetepikan permintaan penduduk.

"Pihak saya akan pantau dan dapatkan maklumat terbaharu daripada MRL mengenai tuntutan penduduk ini, " katanya.