Kerajaan negeri, MPK bincang projek ECRL lalui tanah perkuburan

Sze Han
Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang turut melalui kawasan tanah perkuburan di Taman Sungai Sireh, Klang.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, setakat ini beliau tidak dimaklumkan projek itu turut melalui laluan tanah perkuburan.

"Saya akan bincang dengan MPK untuk mencari jalan penyelesaian yang paling sesuai untuk kepentingan semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan tambahan Datuk Abdul Rashid Asari (PN-Selat Klang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Terdahulu, Abdul Rashid bertanya tentang kemungkinan kerajaan negeri menggantikan tanah dan membayar kos pemindahan perkuburan di kawasan lain.

Abdul Rashid berkata, sebanyak 2.5 daripada 9 hektar tanah perkuburan itu akan diambil bagi projek tersebut.

Jelas beliau, sebanyak 90 lot tanah perkuburan sedia ada akan dipindahkan bagi projek laluan ECRL.

Mengulas mengenai pertanyaan tambahan daripada Noor Najhan Mohammad Saleh (PN-Sementa) yang menyuarakan hasrat penduduk agar diadakan taklimat bersama kerajaan, Sze Han berkata, sebanyak 22 sesi perjumpaan diadakan wakil penduduk sejak Mei tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak 93 unit rumah terlibat di kawasan itu meliputi 89 di Taman Sungai Sireh, tiga di Kampung Delek dan satu di Sungai Delek.

"Bayaran pampasan akan diberikan kepada kepada pemilik struktur kediaman yang terlibat secara langsung dengan pengambilan tanah bagi pembangunan projek ECRL," katanya.

Tambah Sze Han, penduduk setinggan yang menduduki tanah kerajaan dicadangkan penawaran pembelian Rumah Selangorku (RSKU) atau Rumah Idaman dengan keutamaan diberikan kepada pemilik struktur kediaman oleh pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi mana-mana projek yang berhampiran atau yang sedang dalam pembinaan.

"Bagaimanapun, pembelian ini adalah tertakluk kepada persetujuan pemilik struktur kediaman yang terlibat.

"Sekiranya bersetuju, pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan dan LPHS akan membantu dalam urusan pembelian RSKU atau Rumah Idaman tersebut," jelas beliau.