Penduduk Kampung Jerai minta henti projek pasir

Sekumpulan penduduk di Kampung Jerai, Bukit Selambau dekat sini membantah projek menyedut pasir di kampung mereka yang didakwa mengancam keselamatan serta menjejaskan kelestarian alam sekitar di kawasan terbabit. Foto Bernama
Sekumpulan penduduk di Kampung Jerai, Bukit Selambau dekat sini membantah projek menyedut pasir di kampung mereka yang didakwa mengancam keselamatan serta menjejaskan kelestarian alam sekitar di kawasan terbabit. Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sekumpulan penduduk di Kampung Jerai, Bukit Selambau dekat sini membantah projek menyedut pasir di kampung mereka yang didakwa mengancam keselamatan serta menjejaskan kelestarian alam sekitar di kawasan terbabit.

Wakil penduduk, Abd Rais Lah Omar, 54, berkata, selain laluan keluar masuk ke tapak projek berdekatan dengan lima kediaman penduduk menyebabkan kekotoran serta gangguan pernafasan akibat pencemaran debu yang tebal.

"Keselamatan dan kesihatan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar tapak projek terjejas terutama penduduk di Lot 321 dan 3164.

"Akibat daripada projek pasir itu juga terhasil lombong sangat luas dan dalam, jaraknya hanya 30 meter dari sempadan tanah (kediaman) berdekatan," katanya selepas membawa pemberita meninjau tapak projek pasir di Kampung Jerai dekat sini petang semalam.

Katanya, pemilik tanah berhampiran tapak projek yang berjalan lebih kurang setahun lepas itu juga mengalami kerugian akibat daripada susut nilai tanah berikutan kesan perlombongan pasir.

"Kami berharap bantahan ini menarik perhatian pihak berwajib untuk menjalankan siasatan lanjut dan menyeluruh.

"Kami juga harap tiada lagi kelulusan menyedut pasir dikeluarkan selepas ini," katanya.

Seorang penduduk Siti Ramlah Husin, 63, berkata, dia yang sejak lahir tinggal di kampung tersebut berasa tidak senang dan risau jika kawasan lombong pasir terhakis sehingga hampir ke kawasan rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan jadi bising. Mak saya dah tua, mata tak nampak, umur 84 tahun.

"Jadi tertekan sebab bunyi jentera tak berhenti," katanya.

Abdul Hadi Ahmad, 39, pula berkata, dia berasa tidak tenteram kerana ramai kanak-kanak di kampung itu dan kawasan lombong menjadi sangat berbahaya jika mereka bermain di kawasan berkenaan.

"Tengah malam pun ada lori keluar masuk.

"Kalau boleh, tutup kuari pasir ini sebab dekat dengan rumah orang," katanya. - Bernama