Kelantan tiada kuasa buat 16 peruntukan jenayah syariah - Mahkamah

Peserta Himpunan Selamatkan Syariah berkumpul memenuhi pekarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi mengikuti keputusan kes Nik Elin Zurina dan anaknya yang mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 pada Jumaat. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Peserta Himpunan Selamatkan Syariah berkumpul memenuhi pekarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi mengikuti keputusan kes Nik Elin Zurina dan anaknya yang mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 pada Jumaat. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat menyatakan, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak berkuasa untuk membuat 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Semasa membaca keputusan penghakiman yang menyokong, Tengku Maimun berkata, 16 daripada 18 peruntukan itu tidak sah kerana intipati peruntukannya termasuk bawah Senarai Persekutuan.

“Hanya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuatnya,” kata Tengku Maimun yang menyokong petisyen itu.

Keputusan majoriti itu dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Selain Tengku Maimun, hakim lain yang menyokong ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Sementara Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli menentang petisyen berkenaan.

Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Natasha, 26, memfailkan petisyen terhadap kerajaan negeri Kelantan selaku responden tunggal, dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Lapan belas peruntukan yang dipertikaikan tersebut ialah:

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Bahagian 39: Mengurangkan timbangan, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan 'hukum syarak' (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (ibu/ bapa ayam atau perantara pelacuran)

Sementara itu, Tengku Maimun berkata, mahkamah mendapati Seksyen 13 dan 30 sah kerana responden mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Beliau berkata, Seksyen 13 ialah berkenaan penjagaan untuk mengawal pengembangan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam.

“Ia juga berkaitan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa negeri-negeri boleh membuat undang-undang bagi tujuan mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam.

“Begitu juga intipati Seksyen 30, ia bagi mengawal atau menyekat pengembangan kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam, bukannya untuk semata-mata memecah keamanan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, mahkamah membenarkan permohonan pempetisyen untuk suatu deklarasi bahawa Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48 Enakmen 2019 adalah batal dan tidak sah.

Katanya, selaras dengan Seksyen 83 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, mahkamah tidak membuat sebarang perintah tentang kos.