'Jumaat hitam' untuk umat Islam di Malaysia - Takiyuddin

Takiyuddin bersama peserta Himpunan Selamatkan Syariah berkumpul memenuhi pekarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi mengikuti keputusan kes Nik Elin dan anaknya yang mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Takiyuddin bersama peserta Himpunan Selamatkan Syariah berkumpul memenuhi pekarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi mengikuti keputusan kes Nik Elin dan anaknya yang mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PUTRAJAYA - Pas menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai sejarah hitam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa berasa sedih di atas keputusan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai 'Black Friday'

"Kita amat sedih pada hari ini...dia bagi diskaun 16 ini cukup besar...Mahkamah Syariah di Kelantan nak dengar undang-undang mana ni.

"Jadi sebagai rakyat Malaysia, rakyat Kelantan yang ada undang-undang syariah ini undang-undang negeri, Jumaat yang hitam kepada syariah Islam kepada undang-undang Islam itu yang boleh kita gambarkan," katanya pada sidang akhbar di Perkarangan Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, sebagai peguam bila satu undang-undang jenayah syariah satu negeri dibatalkan bermakna undang-undang jenayah syariah Islam melibatkan 14 buah negeri lain berada dalam keadaan merbahaya dan kritikal

"Mana-mana orang katakanlah di Negeri Sembilan atau di Melaka dituduh di bawah mahkamah syariah atas kesalahan liwat dia akan dibawa kes ke sini (Mahkamah Persekutuan)...maka ianya boleh dibatalkan, jadi tiada orang yang boleh dituduh di mahkamah syariah atas kesalahan syariah.

"Ini bukan benda kecil, mempertahankan syariah mempertahankan institusi raja-raja yang menjadi ketua kepada agama Islam negeri, Yang di-Pertua. Agong pula ketua agama Islam Wilayah Persekutuan bagi negeri tidak beraja, jadi ini kita mempertahankan syariah mempertahankan institusi raja-raja Melayu,"

Terdahulu pada Jumaat, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Keluarga itu mencabar perlembagaan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Bagaimanapun, mahkamah tertinggi hanya membenarkan 16 daripada 18 peruntukan yang dimohon mereka.

Antara peruntukan yang dianggap tidak sah ialah mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16), persetubuhan dengan bukan manusia (Seksyen 17), dan gangguan seksual (Seksyen 31).

Kesalahan jenayah syariah lain yang menjadi pertikaian dalam permohonan itu ialah memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu (Seksyen 34), mabuk (Seksyen 36), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45), dan penyalahgunaan label halal (Seksyen 42).

Di sebalik menerima 16 permohonan pasangan anak-beranak itu mahkamah bagaimanapun menolak cubaan mereka membatalkan dua lagi peruntukan dalam enakmen sama.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari pula menggesa Kerajaan Persekutuan supaya meminda perlembagaan bagi melindungi perundangan syariah di negara ini.

"Cuma paling printing kita nak kerajaan percepat pindaan perlembagaan kerajaan sudah dua pertiga majoriti, kerajaan tak perlu kepada pembangkang lagi.

"Kerajaan boleh buat satu rang undang-undang yang baru untuk memberi lebih kuasa melindungi undang-undang syariah.

"Kita memberi komitmen untuk menyokong," katanya.

Sementara itu Pengerusi Bersama Gerakan Selamat Syariah, Mohd Zai Mustafa berkata pihaknya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Selain akan menjelajah ke seluruh negeri bagi memberi penjelasan dan mengatur perancangan seterusnya bagi membincangkan langkah seterusnya bagi mempertahankan sistem perundangan syariah.