Op Tahun Baharu Cina: Tiga pemandu bas ekspres positif dadah

KOTA BHARU – Tiga pemandu bas ekspres dikesan positif dadah jenis methamphetamine manakala tiga bas turut disita dalam Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara sejak 9 Februari lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi, berkata, kes dadah dikesan menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas 381 pemandu dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Daripada jumlah itu, tiga pemandu didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Dua kes dikesan di Seremban, Negeri Sembilan membabitkan pemandu berusia 47 dan 38 tahun, manakala satu lagi berusia 36 tahun di Kuantan, Pahang,” katanya pada sidang akhbar sempena Op TBC 2026 di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, kesemua mereka diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.
Dalam tempoh sama, JPJ turut memeriksa sebanyak 4,242 bas di depoh dan terminal seluruh negara.

Hasil pemeriksaan itu, 779 slip pemeriksaan dikeluarkan dengan tiga bas disita kerana ketidakpatuhan terhadap aspek keselamatan dan perundangan.
“Dua daripada bas yang disita membabitkan pemandu yang tidak memiliki Lesen Vokasional yang sah atau tamat tempoh, manakala sebuah lagi disita kerana cukai jalan tamat tempoh.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengendali atau pemandu yang gagal mematuhi syarat keselamatan kerana melibatkan nyawa penumpang,” katanya.
Beliau berkata, selain pemeriksaan fizikal, JPJ turut melaksanakan operasi penyamaran sebagai penumpang bagi memantau pematuhan pemakaian tali pinggang keselamatan serta tahap disiplin pemandu sepanjang musim perayaan.
Op TBC 2026 akan berlangsung hingga 22 Februari ini dengan penglibatan semua JPJ negeri di seluruh negara.
“Tujuan utama operasi adalah memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya, selaras dengan tema ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’,” katanya.
Menurut beliau, penguatkuasaan memberi fokus kepada sembilan kesalahan utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang kemalangan jalan raya.
“Tumpuan melibatkan kesalahan seperti melanggar had laju dan lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar.
“Selain memotong barisan, guna telefon ketika memandu serta kesalahan berkaitan lebihan dan muatan berbahaya,” katanya.
Ringkasan AI
- Tiga pemandu bas ekspres positif dadah jenis methamphetamine dalam Op Tahun Baharu Cina 2026 Dua kes dadah dikesan di Seremban dan satu di Kuantan JPJ diserahkan kes kepada Agensi Antidadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut Tiga bas disita kerana ketidakpatuhan terhadap keselamatan dan perundangan Operasi ini bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya dengan tema 'Pandu Cermat, Sampai Selamat'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

