Keputusan petisyen Nik Elin: Pas desak kerajaan segera usul pinda Perlembagaan

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mendesak kerajaan supaya menyegerakan usul meminda Perlembagaan di Parlimen dengan memasukkan bidang kuasa jenayah di bawah Senarai III, Senarai Bersama.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia bagi memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang kesalahan jenayah termasuk jenayah syariah.

"Kerajaan sekarang sudah lebih dari stabil serta mendapat dua pertiga sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Oleh itu, saya yakin usaha ini sangat mudah dilakukan oleh pihak kerajaan kecuali sememangnya mereka tidak berminat ke arah itu," katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat yang telah mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, 26, memfailkan petisyen terhadap kerajaan Kelantan.

Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Tambah beliau, keputusan itu telah diputuskan oleh badan perundangan di peringkat yang tertinggi dan tiada lagi proses rayuan selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Dalam erti kata lain, dari sudut proses undang-undang ia adalah muktamad dan mandatori. Sudah tentu ia wajar dihormati oleh semua pihak.

"Sudah tentu banyak pihak berdukacita dengan keputusan ini yang sekali gus akan mencetuskan ‘domino effect’ kepada kompetensi DUN di negeri-negeri yang lain dalam menggubal undang-undang syariah yang dilihat ‘bertentangan’ dengan Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.