Banjir kilat di Ipoh punca trafik perlahan, kenderaan ke Pantai Timur meningkat

Banjir kilat berlaku di Kilometer 271.8 menyebabkan lorong kiri dan lorong kecemasan arah selatan terhalang. Foto Facebook PLUS Malaysia
Banjir kilat berlaku di Kilometer 271.8 menyebabkan lorong kiri dan lorong kecemasan arah selatan terhalang. Foto Facebook PLUS Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan perlahan di kedua-dua arah berhampiran Ipoh, Perak malam ini susulan kejadian banjir kilat di jajaran berkenaan.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan banjir kilat berlaku di Kilometer 271.8 menyebabkan lorong kiri dan lorong kecemasan arah selatan terhalang.

"Trafik bergerak perlahan dari Tol Meru ke Ipoh Selatan bagi kedua-dua arah. Selain itu, jajaran utara turut dikesan perlahan dari Sungai Buloh ke Rawang Selatan," katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata, bagi jajaran selatan pula, peningkatan trafik dikesan sejak 4 petang tadi dari Nilai ke Seremban, serta Senai ke Kulai dan Sedenak.

Turut dilaporkan perlahan adalah di Jambatan Pulau Pinang dari bahagian pulau ke Perai serta di jajaran Juru ke Seberang Jaya.

Menurut jurucakap itu, trafik dijangka terus meningkat menuju ke Pantai Timur pada lewat malam ini memandangkan masih ramai pengguna yang baru memulakan perjalanan pulang ke kampung selepas waktu bekerja.

"Setakat ini trafik perlahan dikesan dari Bukit Tinggi ke Bentong manakala di Kilometer 71.5 dari Karak ke Bentong, terdapat kemalangan yang menyebabkan lorong kiri dan kecemasan ditutup sementara," katanya sambil menambah aliran trafik di Lembah Klang kini beransur lancar.

Susulan cuaca hujan lebat di kebanyakan lokasi, pengguna dinasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana permukaan jalan yang basah serta sentiasa mengawasi jarak selamat dengan kenderaan hadapan.

Pengguna turut digalak merancang perjalanan dengan merujuk jadual waktu perjalanan (TTA) melalui aplikasi MyPLUS-TTA, selain mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) perlahan di kedua-dua arah berhampiran Ipoh susulan banjir kilat
  • Banjir kilat berlaku di Kilometer 271.8 menyebabkan lorong kunci dan lorong kecemasan arah selatan terhalang
  • Trafik juga perlahan dari Tol Meru ke Ipoh Selatan dan dari Sungai Buloh ke Rawang Selatan
  • Peningkatan trafik sejak petang dari Nilai ke Seremban, Senai ke Kulai dan Sedenak, serta perlahanan di Jambatan Pulau Pinang
  • Pengguna dinasihatkan berhati-hati akibat cuaca hujan lebat dan merancang perjalanan menggunakan aplikasi MyPLUS-TTA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!