Pemegang taruh Mahkamah Syariah akan dipanggil - Mohd Na'im

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pemegang taruh berkaitan dan pihak terlibat dengan Mahkamah Syariah akan dipanggil segera bagi menilai langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, jika terdapat keperluan melakukan sebarang pindaan atau reformasi undang-undang, ia akan segera dilakukan.

Katanya, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara,Tun Zaki Tun Azmi akan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Ia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

"Kami memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, 26, memfailkan petisyen terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enekmen itu, terbatal dan tidak sah.

Antaranya, Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat), Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat, mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang itu.

Mohd Na'im memberitahu, pihaknya mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes tersebut.

Menurutnya, sebagai tindakan segera, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes tersebut untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.

"Justeru, selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini, perancangan-perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

"Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini. Segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksanakan," katanya.

Tambah Mohd Na'im, beliau akan segera memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah untuk menyembah maklum akan hal keputusan mahkamah hari ini.

"Saya juga akan memohon menghadap Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan.

"Semua pihak adalah diseru untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam," jelasnya.