Isu Azam Baki: Badan Peguam tegas siasatan perlu telus, bebas pengaruh politik

SHAH ALAM - Sebarang semakan atau siasatan terhadap dakwaan yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mesti dilakukan secara jelas serta bebas daripada pengaruh eksekutif atau politik.
Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, pihaknya tidak membuat sebarang penilaian terhadap merit dakwaan dan menegaskan bahawa persoalan fakta perlu ditentukan melalui proses undang-undang yang betul serta berasaskan bukti.
Menurutnya, ini kerana isu tersebut telah melangkaui soal peribadi dan secara langsung menyentuh keyakinan awam terhadap integriti institusi.
"Kerajaan telah menyatakan bahawa mekanisme sedia ada boleh menangani perkara ini. Namun, Badan Peguam menegaskan bahawa keberkesanan mekanisme tersebut bergantung kepada beberapa faktor, antaranya kebebasan.
"Ia bermaksud semakan atau siasatan mesti jelas serta bebas daripada pengaruh eksekutif atau politik. Keyakinan awam tidak boleh hanya bergantung pada jaminan, sebaliknya mesti berasaskan proses.
"Selain itu, mekanisme lain ialah ketelusan, ketepatan masa dan keselarasan dengan kedaulatan undang-undang," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, satu pasukan petugas khas tiga anggota telah dibentuk untuk menyiasat dakwaan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang dilaporkan melebihi had yang ditetapkan bagi penjawat awam.
Panel itu dipengerusikan oleh Peguam Negara, Dusuki Mokhtar dengan dua ahli lain iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dalam masa sama, kerajaan digesa meneliti perkara tersebut secara mendalam dan serius.
Mengulas lanjut, Mohamad Ezri memberitahu standard akauntabiliti tidak boleh berubah mengikut kedudukan politik.
Jelasnya, institusi mesti dipelihara, terutamanya dalam saat-saat mencabar.
"Badan Peguam menegaskan bahawa akauntabiliti dan proses sewajarnya bukan nilai yang bercanggah, sebaliknya saling melengkapi. Menjaga anggapan tidak bersalah tidak seharusnya menghalang pengukuhan mekanisme pemantauan yang kukuh dan kredibel.
"Keyakinan yang berterusan tidak boleh bergantung pada individu, sebaliknya mesti berasaskan integriti sistemik," ulasnya.
Badan Peguam Malaysia turut berharap agar kerajaan memastikan cara isu ini ditangani dapat mengukuhkan, dan bukannya melemahkan, keyakinan awam terhadap SPRM serta kedaulatan undang-undang.
"Dalam saat-saat pemeriksaan, institusi diuji. Ukuran ujian itu bukan terletak pada reaksi defensif, tetapi pada ketelusan berprinsip dan akauntabiliti menurut undang-undang," katanya.
Ringkasan AI
- Semakan atau siasatan terhadap dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti bebas dari pengaruh eksekutif atau politik
- Isu tersebut telah melangkaui soal peribadi, menyentuh keyakinan awam terhadap integriti institusi
- Mekanisme sedia ada dituntut keefektifannya bergantung kepada kebebasan, ketelusan, ketepatan masa, dan keselarasan dengan kedaulatan undang-undang
- Pasukan petugas khas tiga anggota dibentuk untuk menyiasat dakwaan pegangan saham Azam Baki yang melebihi had untuk penjawat awam
- Badan Peguam Malaysia menekankan pentingnya proses undang-undang yang betul, ketelusan, dan akauntabiliti dalam menangani isu ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

