Operasi penutupan ladang babi Teluk Bunut ditangguh

Pegawai DVS melakukan pemeriksaan di ladang ternakan babi Teluk Bunut Banting pada Selasa. Gambar kecil: Papparaidu
Pegawai DVS melakukan pemeriksaan di ladang ternakan babi Teluk Bunut Banting pada Selasa. Gambar kecil: Papparaidu
A
A
A

KUALA LANGAT - Pengusaha ladang babi di Teluk Bunut, Banting di sini diberi lanjutan dua minggu lagi untuk pengosongan dan menghentikan operasi ternakan yang terletak 300 meter dari kawasan perumahan.

Operasi penutupan ladang babi berkenaan sepatutnya dilaksanakan pada Selasa, namun ditangguhkan susulan rayuan daripada pengusaha berkenaan selain perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, V Papparaidu.

Pengarah Veterinar Selangor, Dr Hassuzana Khalil berkata, ladang seluas satu hektar membabitkan hampir 1,000 ternakan itu telah bertapak puluhan tahun dengan diberikan operasi lesen ternakan secara sementara yang perlu diperbaharui setiap enam bulan.

Bagaimanapun menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) tidak menyambung pengeluaran lesen operasi sejak Jun tahun laluan susulan aduan kacau ganggu.

"Operasi penguatkuasaan dijalankan atas keputusan MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) 2023 yang mengarahkan DVS mengambil tindakan selepas menerima 24 aduan berkaitan bau busuk dan BOD (permintaan oksigen biologi) melebihi 50 parts per million (ppm).

"Selain itu, hasil daripada audit kualiti air mendapati kawasan perairan ini banyak tercemar," katanya ditemui pada operasi berkenaan.

Hassuzana (dua dari kiri) mengadakan perbincangan bersama pengusaha ladang babi di Teluk Bunut Banting.
Hassuzana (dua dari kiri) mengadakan perbincangan bersama pengusaha ladang babi di Teluk Bunut Banting.

Katanya, ladang tersebut telah diberikan notis pengosongan dan kompaun sebanyak dua kali sebelum tindakan lebih tegas dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Selepas lesen operasi tidak diperbaharui, pengusaha boleh mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa negeri namun permohonan tersebut tidak diluluskan.

"Sebarang keputusan daripada pihak berkuasa negeri adalah muktamad maka tindakan penguatkuasaan (penutupan ladang) diambil," katanya.

Beliau berkata, terdapat 116 ladang babi beroperasi di Selangor, namun tiga daripadanya tidak berlesen termasuk ladang babi yang diambil tindakan pada Selasa.

"Dua lagi ladang babi tidak berlesen turut beroperasi berhampiran lokasi berkenaan dan dalam proses penguatkuasaan yang akan dilakukan secara berfasa.

"Cuma penguatkuasaan diambil terlebih dahulu di sini kerana lokasinya terletak hanya 300 meter daripada kawasan perumahan," katanya.

Sementara itu, Papparaidu berkata, pihaknya meminta penangguhan dilakukan bagi memberi ruang sesi perbincangan bagi mencapai situasi memang-menang antara kedua belah pihak.

"Saya faham tindakan diambil kerana ada aduan bau busuk dan lain-lain yang memberikan rasa tidak selesa kepada penduduk setempat.

"Bagaimanapun, pengusaha juga berdepan masalah tiada tempat untuk pemindahan haiwan ternakan mengikut tempoh ditetapkan," katanya.

Ujarnya, pertemuan akan dibuat bersama Exco berkaitan dan juga Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mencari penyelesaian terbaik.

Tambahnya, permohonan penangguhan penguatkuasaan juga dibuat bagi mengelak gangguan bekalan sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada hujung minggu ini.