Harga belian padi di Sabah, Sarawak ditetapkan RM1,300 - KPKM

Mohamad ketika sidang media sempena Program Lawatan KPKM di Jelapang Padi Batang Lupar pada Khamis. Foto Bernama
Mohamad ketika sidang media sempena Program Lawatan KPKM di Jelapang Padi Batang Lupar pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

SIMANGGANG - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak mulai 15 Februari depan kepada RM1,300 per tan metrik.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penetapan itu untuk meningkatkan pengeluaran beras negara dan menyeragamkan harga lantai belian padi di kedua buah negeri itu dengan Semenanjung.

"Pada masa ini, harga belian padi di Sabah dan Sarawak agak rendah, iaitu sekitar RM900 hingga RM1,100.

"Penetapan ini mampu membantu menambah pendapatan pesawah sekali gus menggalakkan pesawah untuk meningkatkan pengeluaran padi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sempena lawatan ke Jelapang Padi Batang Lupar di Dewan Nangkai Stumbin di sini, pada Khamis yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Pengerusi Sri Aman Development Agency (SADA), Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Mohamad berkata, untuk jangka panjang, kerajaan perlu memperkukuhkan sekuriti makanan negara, iaitu memberi tumpuan kepada peluasan kawasan tanaman padi di Sabah dan Sarawak dengan memperluaskan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan ke seluruh negara dan perluasan lagi kawasan jelapang padi baharu.

Mohamad (kiri) dan Arthur pada Program Lawatan Kerja KPKM di Jelapang Padi Batang Lupar pada Khamis. Foto Bernama
Mohamad (kiri) dan Arthur pada Program Lawatan Kerja KPKM di Jelapang Padi Batang Lupar pada Khamis. Foto Bernama

"Program SMART SBB di Sarawak telah dilaksanakan secara rintis di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar, dengan usahasama strategik Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan Syarikat Advansia (Sarawak) Sdn Bhd, membabitkan kawasan seluas 72 hektar di Tanjung Bijat, Sri Aman bermula luar musim tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 202 orang pesawah telah memberanikan diri untuk menggalas perubahan dan inovasi ini. Jenis varieti padi yang digunakan di bawah program SMART SBB di Batang Lupar ini ialah MR269, keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), yang dibawa masuk khas dari Semenanjung.

"Projek ini telah merekodkan prestasi purata bersih tuaian yang sangat memberangsangkan pada musim dua tahun 2023, iaitu 5.5 tan per hektar berbanding 2.8 tan per hektar sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah, sasaran kerajaan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri Beras Negara, akan mampu mencapai 80 peratus menjelang 2030 berbanding pencapaian semasa sebanyak 62.6 peratus. - Bernama