Dua ketua jabatan, pengarah syarikat ditahan SPRM Melaka

Mohd Shahril
Mohd Shahril
A
A
A

MELAKA - Dua ketua jabatan dan seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka selepas disyaki membuat tuntutan palsu bagi pelaksanaan program.

Sumber berkata, kesemua suspek masing-masing berusia awal 40-an ditahan di Pejabat SPRM Melaka kira-kira jam 2.30 petang pada Isnin ketika diminta hadir memberi keterangan.

Menurutnya, salah seorang suspek dipercayai bertindak sebagai perancang utama dan berpakat dengan pengarah syarikat tersebut untuk menggunakan invois yang mengandungi butir palsu.

"Selain itu salah seorang suspek turut disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan perpindahan berjumlah lebih kurang RM6,000 kepada jabatannya.

"Dokumen tersebut berkaitan tuntutan pembekalan, sedangkan pembekalan tersebut tidak pernah dilaksanakan bagi program yang dianjurkan pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan penahanan kesemua suspek terbabit dan tidak menolak akan memanggil beberapa lagi penjawat awam di kedua-dua jabatan untuk memberi keterangan.

Jelas beliau, ketua jabatan sepatutnya berpegang kepada prinsip amanah dan akauntabiliti dalam membersihkan jabatan mereka daripada sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa, bukannya menjadi 'duri dalam daging' di jabatan masing-masing.

"Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh pada Selasa bagi permohonan reman," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!