Mahkamah Persekutuan benarkan isu niat dibangkitkan dalam perbicaraan Muhyiddin

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan pada Isnin memutuskan untuk tidak menghalang peguam kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada membangkitkan isu berkaitan elemen niat atau 'intention' di bawah Akta Hasutan dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi nanti.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan tersebut juga membolehkan pasukan pembelaan Muhyiddin mengemukakan hujahan perundangan berhubung aspek niat berkenaan.
"Menurut peguam, Datuk Amer Hamzah, Akta Hasutan dalam kerangka sedia ada menyatakan 'niat' seseorang itu adalah tidak relevan. Tan Sri Muhyiddin tuntas dan sentiasa menegaskan pendirian bahawa beliau tidak pernah ada niat untuk menghasut semasa mengimbau fakta kejadian pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Di atas pandangan yang diusulkan oleh Mahkamah Persekutuan pagi ini yang membenarkan isu undang-undang tersebut dibangkitkan di Mahkamah Tinggi, Tan Sri Muhyiddin akan mengambil tindakan yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengembalikan kes hasutan Muhyiddin untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi selepas panel lima hakim enggan menjawab persoalan perlembagaan yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu.
Muhyiddin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 April tahun lalu untuk mencabar kesahihan peruntukan tertentu dalam Akta Hasutan 1984.
Ia susulan, beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan di Mahkamah Sesyen Gua Musang pada 27 Ogos 2024, berhubung kenyataannya bahawa beliau kesal kerana Yang di-Pertuan Agong terdahulu tidak memanggilnya untuk membentuk kerajaan selepas PRU15, walaupun mendakwa mendapat sokongan 115 ahli Parlimen.
Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan tidak menghalang peguam Muhyiddin Yassin daripada membangkitkan isu niat di bawah Akta Hasutan
- Keputusan membolehkan pasukan pembelaan Muhyiddin mengemukakan hujahan perundangan mengenai aspek niat
- Akta Hasutan menyatakan 'niat' seseorang itu adalah tidak relevan menurut peguam Datuk Amer Hamzah
- Mahkamah Persekutuan membenarkan isu undang-undang tersebut dibangkitkan di Mahkamah Tinggi
- Muhyiddin didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan berhubung kenyataannya selepas PRU15
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

