Bekas pemilik syarikat didakwa buat tuntutan palsu Penjana

Kamala Segaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin, atas tiga pertuduhan memberikan dokumen menuntut insentif Program Penjana Kerjaya berjumlah RM9,500 yang mengandungi pernyataan palsu, dua tahun lalu.
Kamala Segaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin, atas tiga pertuduhan memberikan dokumen menuntut insentif Program Penjana Kerjaya berjumlah RM9,500 yang mengandungi pernyataan palsu, dua tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pemilik syarikat rekaan dalaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tiga pertuduhan memberikan dokumen menuntut insentif Program Penjana Kerjaya berjumlah RM9,500 yang mengandungi pernyataan palsu, dua tahun lalu.

S Kamala Segaran, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai pemilik syarikat Tech Train Consultancy telah memberikan dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat berkenaan bertarikh 25 Jun, 23 November dan 21 Disember 2021.

Ia bagi menuntut insentif masing-masing RM4,340, RM2,260 dan RM2,900 di bawah program itu kepada dua Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat agensi itu, Mira Sabriena Romzain serta Farah Nurellysha Mat Jasri.

Tertuduh didakwa berniat memperdayakan agensi yang mana lelaki itu mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu mengenai nama pekerja baharu.

Sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerjanya, di Wisma Perkeso di Jalan Tun Razak, Kampung Baru di sini pada 25 Jun, 23 November dan 21 Disember 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM, Yasri Yahya mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

“Pendakwaan juga menetapkan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam, R Babu Naidu yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana dia telah diisytiharkan muflis sejak 2014.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 6 November depan untuk sebutan semula kes.