Pemilik syarikat mengaku salah buat tuntutan palsu

Tertuduh (depan) diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah pada Selasa.
Tertuduh (depan) diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pemilik syarikat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM44,600 di bawah Program Penjana 2.0 PERKESO Kerjaya dua tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Asyraf Omar, 31, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Asyraf dituduh dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) atas nama Perusahaan Syarikat Asyraf Omar Legacy No Kod Majikan D6102101219Z bertarikh 11 Mei 2021.

Ia bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 PERKESO Kerjaya berjumlah RM44,600 kepada ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu.

Tertuduh didakwa berbuat demikian di Unit Pegawai Pekhidmatan Pekerjaan, PERKESO Kedah di sini pada 16 Mei 2021.

Sehubungan itu, Muhammad Asyraf dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh diwakili Peguam Muhaimin Hashim.

Hakim menetapkan 7 November depan untuk fakta kes dan hukuman ke atas tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan hukuman.

Tertuduh kemudiannya membuat bayaran wang jaminan tersebut.