Najib perlu diberi hukuman penuh - Bersih

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaksanakan secara penuh sama seperti rakyat biasa yang melakukan kesalahan jenayah.

Bersih dalam satu kenyataan berkata, walaupun Lembaga Pengampunan mempunyai hak perlembagaan memberi pengampunan, namun keputusan tersebut akan memberi kesan kepercayaan rakyat berhubung sistem keadilan negara.

Menurutnya, negara tidak boleh membenarkan pemimpin politik yang melakukan kesalahan dan disabitkan bersalah mengambil jalan pintas untuk bebas daripada sebarang hukuman.

“Mengapakah kes Najib Razak diberikan keutamaan untuk dipertimbangkan sedangkan hari ini masih ramai mereka yang dipenjara khususnya dari kalangan rakyat yang masih menunggu peluang untuk mendapatkan ruang pengampunan?

“Berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan seolah-olah ada undang-undang dua darjat untuk orang biasa dan orang atasan.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2022 jelas menunjukkan Najib telah merompak wang negara dan kami tidak melihat kewajaran untuk mengurangkan hukuman penjara mahupun denda yang disabitkan,” kata Bersih pada Sabtu.

Pada Jumaat, Lembaga Pengampunan mengumumkan untuk membebaskan Najib lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Kenyataan yang dikeluarkan Urusetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri itu turut memaklumkan, Lembaga Pengampunan turut mengurangkan denda yang perlu dibayar Najib iaitu hanya RM50 juta berbanding RM210 juta sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Bersih, Lembaga Pengampunan perlu mengemukakan alasan pengurangan hukuman kerana kesalahan yang dilakukan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu melibatkan penyelewengan wang negara yang berjumlah jutaan ringgit.

Jelasnya, pada 2022 seramai 150,000 rakyat Malaysia telah menandatangani petisyen yang menolak sebarang pembebasan Najib atau mana-mana pemimpin politik yang disabitkan kesalahan rasuah dan pecah amanah.

“Kami ingin menuntut pihak Peguam Negara dan kerajaan Persekutuan supaya menetapkan polisi untuk menghentikan pemberian sebarang keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap kes rasuah yang sedang dibicarakan khususnya melibatkan ahli politik.

“Bersih juga sedang menanti pindaan undang-undang untuk memisahkan peranan dan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” ujarnya.