Himpunan desak penguatkuasaan undang-undang wajar, tidak perlu dihalang – Ahmad Fadhli

Tangkap layar hantaran Ahmad Fadhli Shaari di Facebook pada Khamis.
Tangkap layar hantaran Ahmad Fadhli Shaari di Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Himpunan mendesak penguatkuasaan undang-undang sedia ada adalah wajar dan tidak seharusnya dihalang oleh mana-mana pihak, kata Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, tindakan sedemikian berbeza dengan penganjuran himpunan menuntut pengiktirafan hak-hak tertentu yang bercanggah atau dilarang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, selagi sesuatu himpunan bertujuan mendesak pihak berkuasa melaksanakan undang-undang sedia ada, ia mempunyai asas yang sah dan tidak menimbulkan keperluan untuk dihalang.

“Himpunan untuk menunjuk penguatkuasaan undang-undang sedia ada adalah wajar, tidak perlu ditakuti atau dihalang. Tidak perlu mana-mana pihak rasa takut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Ahmad Fadhli menjelaskan, himpunan seperti itu tidak boleh disamakan dengan perhimpunan menuntut hak yang dilarang dalam Perlembagaan seperti perhimpunan pro-LGBT (lesbian, gay, bisesksual dan transgender) sebagai contoh.

Beliau menegaskan perbezaan utama terletak pada kandungan dan tujuan tuntutan yang dibawa oleh sesuatu himpunan, sama ada ia selari dengan kerangka undang-undang negara atau sebaliknya.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan mengenai perancangan satu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan di ibu negara pada Sabtu ini bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang didakwa dibina secara haram.

Menurut laporan satu portal satu notis telah diserahkan kepada pihak polis Dang Wangi pada Rabu oleh pendakwah, Zamri Vinoth yang bertindak sebagai penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram bagi memaklumkan mengenai rancangan demonstrasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Himpunan mendesak penguatkuasaan undang-undang sedia ada adalah wajar dan tidak patut dihalang
  • Tindakan mendesak penguatkuasaan undang-undang berbeza dengan himpunan yang menuntut hak-hak dilarang Perlembagaan
  • Selagi himpunan bertujuan mendesak penguatkuasaan undang-undang sedia ada, ia sah dan tidak perlu dihalang
  • Himpunan untuk menunjuk penguatkuasaan undang-undang tidak sama dengan perhimpunan menuntut hak yang dilarang seperti pro-LGBT
  • Perhimpunan di ibu negara dirancang oleh NGO untuk mendesak tindakan terhadap rumah ibadat haram, notis telah diserahkan kepada polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!