‘Apa salahnya dari Bersatu ke DAP?’

Mohammad Tawfik
Mohammad Tawfik
A
A
A

PUTRAJAYA – Tindakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa berhasrat menyertai DAP bukan satu kesalahan dalam kerangka demokrasi negara, sebaliknya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kebebasan untuk menyertai mana-mana parti politik merupakan hak setiap individu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, senario peralihan sokongan atau keahlian politik adalah perkara biasa dalam landskap politik negara kerana ahli dan pemimpin lazimnya akan mencari wadah yang dilihat mampu menjaga kepentingan mereka, sama ada dari segi kebajikan, jawatan mahupun pengaruh kuasa.

“Ideologi dan perjuangan sering menjadi kenderaan untuk mencapai matlamat tertentu. Namun, tidak dapat dinafikan maruah atau imej seseorang boleh sedikit tercalar apabila memilih untuk menyeberang ke parti seteru, apatah lagi jika memegang jawatan penting,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan beberapa contoh sebelum ini, termasuk penyertaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang bermula sebagai ahli UMNO, kemudian dilantik sebagai menteri di bawah kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dilantik sebagai Ahli Biro Politik parti berkenaan.

Sebelum ini, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan menegaskan bahawa usaha menarik lebih ramai ahli pelbagai kaum, termasuk orang Melayu tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa atau menggadaikan prinsip parti.

Menurut Syahredzan, kemasukan ahli Melayu ke dalam DAP berlaku secara organik dan berhati-hati, malah DAP tidak perlu ‘mengimport’ individu daripada parti lain semata-mata untuk menambah bilangan keahlian.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, kebiasaannya isu perpindahan parti hanya mencetuskan reaksi emosi dalam tempoh singkat sebelum suasana politik kembali reda.

Dalam konteks DAP, beliau melihat langkah itu sebagai usaha memperkukuh imej dan sokongan masyarakat Melayu terhadap parti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Apabila semakin ramai ahli biasa dan pemimpin Melayu menyertai DAP, persepsi bahawa DAP didominasi kaum Cina dan bersifat rasis akan semakin luntur.

“Malah, DAP turut memberi ruang kepada pemimpin Melayu untuk menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen serta bertanding dan menang sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC),” katanya.

Beliau berpandangan, kemasukan pemimpin dan ahli Melayu ke dalam DAP kini semakin dinormalisasi dalam budaya politik negara.

“Apabila wajah-wajah pemimpin Melayu diketengahkan di barisan hadapan dan bertanding di Parlimen, ia secara tidak langsung menjadi tarikan kepada lebih ramai individu yang melihat keterbukaan tersebut,” katanya.

Ringkasan AI

  • Tindakan ahli Bersatu menyertai DAP dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan
  • Kebebasan menyertai parti politik merupakan hak individu
  • Peralihan sokongan politik adalah perkara biasa dalam politik negara
  • Usaha menarik ahli berbilang kaum ke DAP dilakukan secara organik
  • Kemasukan pemimpin dan ahli Melayu ke DAP dinormalisai dalam budaya politik negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!