Sanggup menyorok dua jam dalam longkang elak dicekup

Warga Bangladesh antara yang ditahan ketika bersembunyi di dalam longkang semasa operasi pihak berkuasa di Pasar Borong Selangor, pada Sabtu.
Warga Bangladesh antara yang ditahan ketika bersembunyi di dalam longkang semasa operasi pihak berkuasa di Pasar Borong Selangor, pada Sabtu.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Sanggup bersembunyi dalam longkang kononnya dapat mengelak daripada dicekup pihak berkuasa ketika operasi besar-besaran di Pasar Borong Selangor, di sini, pada Sabtu.

Tindakan pekerja asing terbabit hanya menjerat diri apabila taktik lapuk itu berjaya dikesan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor hasil pemeriksaan teliti dilaksanakan biar pun operasi hampir tamat.

Dua pekerja asing itu dipercayai bersembunyi lebih dua jam selepas kepungan kira-kira jam 3 pagi dilakukan anggota imigresen dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara warga asing yang ditahan semasa operasi di Pasar Borong Selangor, pada Sabtu.
Antara warga asing yang ditahan semasa operasi di Pasar Borong Selangor, pada Sabtu.

Ketika ditahan, salah seorang lelaki Bangladesh berusia lingkungan 40-an itu mendakwa tindakannya kerana bimbang ditahan pihak berkuasa.

"Saya cuma takut.

Saya tak lakukan apa-apa kesalahan.

Tadi saya lari terus sorok dalam longkang," katanya.

Antara warga asing yang ditahan semasa operasi di Pasar Borong Selangor, pada Sabtu.
Antara warga asing yang ditahan semasa operasi di Pasar Borong Selangor, pada Sabtu.

Bagaimanapun, pemeriksaan dokumen yang dilakukan Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin terhadap lelaki Bangladesh itu mendapati dia tinggal lebih masa selepas pas lawatannya tamat pada Jun tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Malah, permit kerjanya juga untuk sektor pembinaan.

Menurut Khairrul Aminus, Operasi Bersepadu berkenaan dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Khairrul Aminus (tengah) hadir dalam operasi di Pasar Borong Selangor, pada Sabtu.
Khairrul Aminus (tengah) hadir dalam operasi di Pasar Borong Selangor, pada Sabtu.

"Kita memeriksa 530 orang warga asing termasuk 11 wanita.

"Hasil pemeriksaan mendapati antara kesalahan yang dikesan ialah tiada pas sah, salah guna pas serta tinggal lebih masa," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Sabtu.

Tegasnya, tindakan diambil di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963

Turut hadir ialah Datuk Bandar MBSJ, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati rata-rata gerai menjadi 'sepi' terutama yang menjalankan perniagaan jualan hasil laut seperti ikan, udang dan sotong.

Beberapa gerai jualan sayur-sayuran juga kelihatan tidak teratur dipercayai akibat tindakan pekerja asing terbabit yang lari lintang-pulang selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Bukan itu sahaja, terdapat juga pekerja asing di pasar borong itu yang mengaku konon sebagai pengunjung selain tindakan yang menyeberang jalan besar untuk meloloskan diri.