Buang puntung rokok merata: Dua pesalah 'dihukum' sapu sampah

NILAI -"Ini takdir dan pengajaran yang saya akan ingat sampai bila-bila."
Demikian kata polis bantuan, Mohd Hashim Mohd Nor, 37 yang merupakan antara individu pertama yang menjalani perintah khidmat masyarakat (PKM) di Negeri Sembilan selepas didapati bersalah membuang puntung rokok di tempat awam, bukannya dalam tong sampah disediakan pada Januari lalu.
Dia yang turut dikenakan denda RM600 oleh Mahkamah Sesyen Seremban itu menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan kesalahan sama.
Katanya, tidak berbaloi terpaksa membayar denda yang tinggi bagi kesalahan membuang sampah kecil seperti puntung rokok.
"Sebelum ini saya hanya tahu kesalahan merokok di kawasan awam boleh dikenakan denda, tetapi baru tahu yang bermula tahun ini buang puntung rokok boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan PKM.
"Bagi saya memang tak berbaloi kena denda hanya kerana membuang puntung rokok," katanya ketika ditemui ketika menjalani PKM, di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun dia akur tindakan yang dikenakan dan berharap pihak berkuasa supaya memperbanyakkan kemudahan tong sampah di tempat awam.
Herrykurniawan, 25, yang turut dikenakan tindakan sama memberitahu telah insaf dan akan lebih berhati-hati membuang puntung rokok selepas ini.
Dia juga telah pun menasihatkan orang terdekat supaya tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan kerana boleh merugikan poket sendiri apabila perlu membayar denda.
"Saya memang tak tahu langsung peraturan ini dan bila dah dikenakan tindakan ini, ia jadi pengajaran besar buat saya.
"Nasihat saya, jaga kebersihan, jangan buang sampah merata-rata walaupun ia hanya sampah kecil seperti puntung rokok," katanya.
Ujarnya lagi, denda RM600 yang dikenakan turut disifatkan tinggi, namun dia akur kerana itu yang telah diputuskan oleh mahkamah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam(SWCorp), Khalid Mohamed berkata, secara keseluruhan sebanyak 711 Notis Pemberitahuan Kesalahan(NPK) di tujuh negeri yang melaksanakan Akta 672 telah dikeluarkan.
Menurutnya, ia melibatkan 553 warga tempatan dan 158 warga asing.
" Di Negeri Sembilan sehingga 11 Februari lepas, sebanyak 111 NPK melibatkan 103 kes warga tempatan dan lapan warga asing dikeluarkan.
"Daripada jumlah tersebut, 17 kes dijadualkan untuk prosiding sebutan di mahkamah sehingga 18 Mac 2026," katanya.
Ringkasan AI
- Polis bantuan, Mohd Hashim Mohd Nor didapati bersalah membuang puntung rokok di tempat awam dan dikenakan denda RM600 serta perintah khidmat masyarakat
- Mohd Hashim menasihatkan orang ramai agar tidak membuang sampah sembarangan kerana tidak berbaloi membayar denda yang tinggi
- Pembuangan puntung rokok di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan perintah khidmat masyarakat
- Herrykurniawan turut dikenakan tindakan yang sama, insaf dan menasihati orang terdekat untuk menjaga kebersihan
- Secara keseluruhan, 711 Notis Pemberitahuan Kesalahan telah dikeluarkan di tujuh negeri yang melaksanakan Akta 672, melibatkan 553 warga tempatan dan 158 warga asing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

