13 kru kapal direman bantu siasatan rampasan Syabu RM78.6 juta

Maritim Pahang membawa warga asing bagi penahanan reman di Mahkamah Majistret Kuantan di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian.
Maritim Pahang membawa warga asing bagi penahanan reman di Mahkamah Majistret Kuantan di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN – Seramai 13 kru termasuk nakhoda warga asing direman selama tujuh hari bermula pada Jumaat di Mahkamah Majistret Kuantan bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah jenis syabu bernilai RM78.6 juta.

Perintah reman sehingga 19 Februari ini dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Kamarulzaman selepas permohonan dibuat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang mengikut Seksyen 117 Kanun Tataacara Jenayah (KTJ).

Permohonan reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua mereka merupakan kru kapal tangki Kamal Bangkok yang didaftarkan di Thailand, terdiri daripada 10 warga Thailand dan tiga warga Indonesia berusia antara 33 hingga 68 tahun.

Sementara itu, bagi lima lagi kru kapal kargo Sail Fish 09 didaftarkan di Indonesia, mereka tidak dibawa ke mahkamah sebaliknya ditahan di bawah Perintah Penahanan selama 14 hari.

Penahanan kru kapal kargo tersebut dilakukan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan kuasa penahanan tanpa had sehingga siasatan kes selesai dibawah akta berkenaan.

​Terdahulu, kedua-dua kapal berkenaan ditahan aset Maritim Malaysia pada jam 10.47 pagi Rabu lalu di kedudukan 107 batu nautika timur laut Kuantan, berhampiran sempadan perairan Pahang dan Terengganu.

​Hasil pemeriksaan rapi di dalam kapal Kamal Bangkok menemukan 76 guni berisi syabu seberat 1.572 tan yang disembunyikan bersama rampasan 50,000 liter minyak diesel.

​Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk aset kapal dianggarkan mencecah RM83.75 juta.

Artikel Berkaitan:

​"Rampasan ini merupakan yang terbesar dalam sejarah Maritim Negeri Pahang dan dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira sembilan juta penagih dadah," katanya.

​Kesemua barang kes dan suspek kini di jeti Zon Maritim Kemaman, kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang semua barang kes kecuali kapal.

Ringkasan AI

  • Seramai 13 kru termasuk nakhoda warga asing direman selama tujuh hari untuk siasatan kes rampasan dadah jenis syabu bernilai RM78.6 juta
  • Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Kamarulzaman berdasarkan permohonan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
  • Kru kapal tangki Kamal Bangkok terdiri daripada 10 warga Thailand dan tiga warga Indonesia berusia antara 33 hingga 68 tahun
  • Rampasan dadah dalam kapal Kamal Bangkok dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira sembilan juta penagih dadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!