'Jangan terburu-buru mansuh pencen'

Mohamed Fadzli (kiri) menyampaikan SLDN kepada Pondok al-Fununiah al-Ghazaliah yang diwakili Pengurusnya, Tengku Ahmad Ridha Tengku Mohamed (dua dari kanan).
Mohamed Fadzli (kiri) menyampaikan SLDN kepada Pondok al-Fununiah al-Ghazaliah yang diwakili Pengurusnya, Tengku Ahmad Ridha Tengku Mohamed (dua dari kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meminta Persekutuan tidak mengambil langkah terburu-buru atau drastik dalam cadangan untuk memansuhkan pencen bagi lantikan penjawat awam baharu berstatus tetap.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihak berkenaan sebaliknya perlu berfikir lebih teliti termasuk dari segi perundangan dan kesan kepada masyarakat atau masa depan penjawat awam.

Menurut beliau, hak untuk berpencen kakitangan awam adalah termaktub dalam Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pencen 1980 (Akta 227).

Mohamed Fadzli
Mohamed Fadzli

“Pemansuhan pencen mungkin akan menyebabkan hilang satu hak keistimewaan dimiliki oleh golongan penjawat awam yang sebahagian besarnya adalah Bumiputera.

“Pencen adalah jaminan yang diperuntukkan dalam perlembagaan, maknanya, sudah dipandang penting sewaktu perlembagaan digubalkan. Jadi, tidak boleh terburu-buru atau drastik untuk dimansuhkan,” katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Sijil Pentauliahan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) kepada Pusat Latihan dan Syarikat SLDN-TVET Tahfiz Pertanian Kerajaan Negeri Kelantan: Gerakan Pertanian al-Falah.

Mohamed Fadzli berkata, kerajaan Persekutuan perlu memikirkan cara terbaik untuk menjamin kehidupan penjawat awam selepas bersara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebagai contoh, perlu melaksanakan alternatif lain seperti mencadangkan supaya gaji penjawat awam dinaikkan lebih tinggi dan sebagainya.

Mohamed Fadzli (barisan belakang, tengah) bergambar bersama penerima-penerima SLDN.
Mohamed Fadzli (barisan belakang, tengah) bergambar bersama penerima-penerima SLDN.

“Kerajaan juga kena fikirkan kesan ke atas graduan universiti kerana antara sebab mereka nak kerja kerajaan, adalah dalam pemikiran mereka, ada jaminan pencen.

“Apabila tidak ada jaminan pencen, bimbang nanti orang tidak akan berminat dalam sektor awam dan beralih ke sektor swasta,” kata beliau.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!