‘Dasar baharu berkaitan penjawat awam perlu dilaksana secara berhati-hati’ - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) meminta sebarang dasar baharu mengenai pelantikan pegawai awam perlu dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan sektor tersebut yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan itu tidak boleh menjurus kepada pengabaian kebajikan sektor berkenaan tanpa mengambil kira keperluan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara cekap, meluas dan berkesan.

Menurutnya, ini kerana sebahagian besar daripada 1.6 juta kakitangan awam sedia ada mengisi sektor-sektor penting dan kritikal seperti keselamatan, kesihatan serta pendidikan.

“Ketika wabak Covid-19 melanda negara, mereka yang berkhidmat dalam sektor kesihatan dan keselamatan menjadi petugas barisan hadapan yang penting.

“Saya masih ingat setiap keputusan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat dilaksanakan dengan segera kerana negara ini mempunyai petugas barisan hadapan yang mencukupi.

“Bayangkan sekiranya kita kekurangan doktor, jururawat, polis, tentera, guru, penguatkuasa, kakitangan pertahanan awam dan lain-lain jabatan yang berkaitan, setiap keputusan serta langkah belum tentu dapat dilaksanakan dengan menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau mengulas tindakan kerajaan untuk mengambil penjawat awam secara lantikan kontrak selepas pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi satu pekeliling.

Inisiatif kaedah baharu itu akan diperkenalkan dan sedang dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan serta ia dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara untuk tempoh jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, isu bayaran pencen penjawat awam yang meningkatkan tanggungan fiskal negara telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan penyelesaian yang tuntas.

Menurutnya, sebarang langkah yang diambil kerajaan untuk mengurangkan beban fiskal negara, kebajikan penjawat awam dan pengecilan saiz perkhidmatan itu tidak boleh dijadikan fokus utama.

“Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan sepatutnya memberi fokus terhadap usaha-usaha untuk menambah hasil negara dengan menggalakkan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.