Penjawat awam baharu tidak berpencen tapi perlu carum KWSP - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan semasa mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat APM. Foto Bernama
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan semasa mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat APM. Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Kabinet bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Justeru menurutnya, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz tidak lama lagi.

"Apa yang sudah dibincangkan dalam Kabinet tadi bahawa terdapat kekeliruan daripada kenyataan mengenai jawatan atas pengambilan baharu adalah perjawatan kontrak, ia tak bermaksud begitu.

“Tetapi, ia kontrak untuk satu tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tapi tak berpencen, mereka akan mencarum KWSP dan kerajaan bakal beri sumbangan sebagaimana kebiasaan yang dilakukan kepada kakitangan swasta.

"Sesiapa yang layak juga diberikan sumbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Sebab itu langkah jangka panjangnya, penjawat awam baharu akan dilantik begitu, namun yang sedia ada diteruskan secara tetap dan berpencen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri ke Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) di sini pada Rabu.

Sebelum ini, perkara tersebut dimaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi satu pekeliling yang dikatakan bakal mengukuhkan sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Artikel Berkaitan: