Jangan buat spekulasi isu pencen - Armizan

Armizan ketika ditemui pemberita selepas meninjau perkembangan projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 di Papar pada Jumaat.
Armizan ketika ditemui pemberita selepas meninjau perkembangan projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 di Papar pada Jumaat.
A
A
A

PAPAR - Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu penamatan skim pencen yang mendapat perhatian hangat ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu menegaskan biar agensi yang berkaitan membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

"Pencen biar agensi yang berkaitan buat pengumuman apa keputusan sebenar, jadi harap janganlah ada mana-mana pihak buat spekulasi. Belum ada lagi pengumuman tentang apa mekanisme pelaksanaan itu dan apa keputusannya tetapi sudah ramai yang buat spekulasi.

"Sekarang belum tahu apa sebenarnya keputusan, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) atau apa agensi pun tunggu pengumuman," katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 dekat sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Cuepacs yang mahu kerajaan mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik.

Cuepacs sebelum itu menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan yang akan memansuhkan skim pencen untuk lantikan penjawat awam baharu berstatus tetap.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, ia kerana secara puratanya penjawat awam berkhidmat kepada negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan selain pencen juga menjadi skim yang lebih menjamin kesejahteraan mereka selepas bersara.

Adnan turut menegaskan, sekiranya kerajaan tetap ingin menamatkan skim pencen itu, ia hendaklah terpakai kepada lantikan politik yang layak menerima pencen ketika ini.

Artikel Berkaitan: