Orang ramai tidak lepaskan peluang daftar PADU di Program Jiwa MADANI

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (kanan) beramah mesra dengan penduduk setempat yang sedang mendaftar akaun dalam Pangkalan Data Utama (PADU) pada Program Jiwa MADANI di Kampung Sungai Putat dekat Ayer Keroh pada Sabtu. Foto Bernama
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (kanan) beramah mesra dengan penduduk setempat yang sedang mendaftar akaun dalam Pangkalan Data Utama (PADU) pada Program Jiwa MADANI di Kampung Sungai Putat dekat Ayer Keroh pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Orang ramai tidak melepaskan peluang membuat pendaftaran di kaunter fizikal Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibuka sempena Program Jiwa MADANI di Kampung Sungai Putat di sini pada Sabtu.

Nurariff Luqman Zulkefli, 27, dari Bukit Beruang di sini berkata, pembukaan kaunter PADU sempena program itu memudahkan rakyat membuat urusan berkenaan secara bersemuka memandangkan dia menghadapi masalah untuk mendaftar secara dalam talian.

"Saya cuba membuat pendaftaran PADU secara dalam talian lebih tiga kali tetapi masih gagal kerana berdepan beberapa masalah seperti kesukaran untuk mengakses laman sesawang PADU selain gambar tidak jelas.

"Apabila saya tahu program hari ini ada buka kaunter pendaftaran PADU, saya harap dapat selesaikan masalah yang saya hadapi sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, maklumat berkaitan pembukaan kaunter fizikal berkenaan diperoleh di media sosial dan inisiatif membuka kaunter pendaftaran pada hari cuti juga memudahkan orang ramai terutama mereka yang bekerja untuk membuat pendaftaran.

Rapeah Md Zin, 60, dari Balik Bukit, Kampung Sungai Putat berkata, kaunter fizikal yang disediakan di program berkenaan membantu golongan warga emas terutama mereka yang tidak pandai menggunakan gajet atau komputer untuk membuat pendaftaran.

"Mak cik tidak tahu macam mana hendak mendaftar PADU, tahu pun daripada kawan-kawan lain dan mereka maklumkan pendaftaran boleh dibuat pada program hari ini.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana memudahkan urusan kami...kalau tidak takut pula keciciran daripada mendapat bantuan atau subsidi kerajaan," katanya.

Seorang lagi warga emas, Yau Kah Seng, 68, dari Taman Seri Songket, Batu Berendam berkata beliau tidak dapat membuat pendaftaran PADU pada program itu kerana tidak membawa kad pengenalan ibunya yang tinggal bersamanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, banyak maklumat berkaitan PADU diperolehnya daripada kakitangan bertugas sekali gus memberi penjelasan tepat tentang inisiatif yang dilaksanakan itu.

"Walaupun sedikit kecewa tidak dapat mendaftar tetapi saya puas hati dapat maklumat jelas tentang PADU...nanti saya akan ke kaunter PADU pada program lain untuk selesaikannya," katanya.

Terdahulu, Program Jiwa MADANI yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyediakan beberapa reruai antaranya PADU, Jualan Rahmah dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh pelbagai agensi termasuk di bawah Kementerian Komunikasi bagi membantu masyarakat setempat. - Bernama