Bekalan air cukup untuk aktiviti tanam padi - MADA

MADA memberi jaminan bekalan air pengairan mencukupi dan tidak menjejaskan aktiviti penanaman padi pada musim 2/2023.
MADA memberi jaminan bekalan air pengairan mencukupi dan tidak menjejaskan aktiviti penanaman padi pada musim 2/2023.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan bekalan air pengairan mencukupi dan tidak menjejaskan aktiviti penanaman padi pada musim 2/2023.

Menurut kenyataan dikeluarkan Cawangan Komunikasi Korporat MADA, kedudukan takungan air empangan sehingga 24 Januari 2024 adalah sebanyak 77.2 peratus untuk Empangan Pedu, 95.4 peratus bagi Empangan Muda dan 95.6 peratus bagi Empangan Ahning.

Katanya, sumber air utama pengairan padi bagi musim 2/2023 adalah Empangan Pedu dengan pelepasan semasa adalah sebanyak 3,500 kaki padu sesaat.

"Purata turunan hujan di kawasan Muda secara umumnya adalah sebanyak tujuh milimeter (mm)

"Jumlah ini berkurangan jika dibandingkan dengan turunan hujan pada tahun 2023 dan purata 20 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, tambah MADA, pihaknya mengambil tindakan menghadapi situasi tersebut dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan diambil termasuklah pengoperasian pam bergerak untuk membekalkan air ke kawasan tanah tinggi dan tanah bermasalah.

"Antara lain, menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, mempergiatkan aktiviti kempen pengembangan bagi mempercepatkan aktiviti persawahan dan penjimatan air," katanya.

Kenyataan itu turut menasihatkan peladang menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.

Katanya, MADA sentiasa mengutamakan kepentingan aktiviti penanaman padi dan sentiasa memantau agihan bekalan dan keadaan cuaca sepanjang pelaksanaan aktiviti di peringkat sawah.

"Usaha ini bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna mengikut fasa yang ditetapkan serta memastikan penanaman padi musim 2/2023 berjalan lancar," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, aktiviti penanaman padi bagi musim 2/2023 telah mencapai 99.2 peratus melibatkan kawasan seluas 99,832 hektar, manakala peringkat berbunga sebanyak 18.3 peratus dengan keluasan 18,443 hektar dan sebanyak 0.2 peratus padi telah dituai di Kawasan Muda.

"Keseluruhan aktiviti penuaian padi di Kawasan Muda dijangka mencapai 90 peratus pada penghujung Mac ini," katanya.

Tambahnya, MADA akan terus menjalankan pemantauan kemajuan aktiviti sehingga selesai musim 2/2023.