Hanya 7.5 peratus daftar PADU di Kedah

Kakitangan PEDi memberi penerangan kepada Zainol (kiri) sambil disaksikan Nadia (kanan) di PEDi Kampung Perik, Kuala Nerang.
Kakitangan PEDi memberi penerangan kepada Zainol (kiri) sambil disaksikan Nadia (kanan) di PEDi Kampung Perik, Kuala Nerang.
A
A
A

KUALA NERANG - Kurang kesedaran berkaitan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) didakwa menjadi antara punca penduduk Kedah khususnya warga emas lambat mendaftar atau mengemaskini maklumat mereka.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hanya 118,254 individu atau 7.5 peratus rakyat Kedah berumur 18 tahun ke atas telah mendaftar untuk PADU setakat Jumaat.

Penoreh getah dari Kampung Perik, Zainol Ahmad, 60, berkata, dia agak kurang memahami tujuan PADU meskipun sudah berbulan-bulan mendengar tentang inisiatif itu melalui berita dan media sosial.

Menurutnya, dia bagaimanapun memutuskan untuk meneruskan pendaftaran PADU dan mengemas kini butiran diri selepas mendapat bimbingan daripada kakitangan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi).

"Saya dinasihatkan ahli jawatankuasa masjid untuk melawat PEDi berhampiran untuk pendaftaran PADU. Saya tiba awal hari ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif itu terlebih dahulu.

“Selepas diberi taklimat, saya sedar ia adalah satu langkah berfaedah untuk diambil,” katanya ketika ditemui pemberita ketika lawatan pendaftaran PADU di PEDi Kampung Perik di sini pada Sabtu.

Zainol berkata, ada beberapa warga emas dipercayai memilih tidak mendaftar PADU kerana mereka bimbang akan kehilangan skim bantuan kerajaan.

Seorang lagi penduduk Kampung Perik, Rusmani Jaafar, 50, berkata, dia mengambil keputusan mendaftar PADU selepas mendapat penjelasan menyeluruh daripada ketua kampung.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia tidak mendaftar walaupun ada mendengar tentang PADU sebelum ini disebabkan tidak memahami inisiatif diperkenalkan kerajaan itu.

Rusmani berkata, dia bersyukur kerana ketua kampung menjelaskan tentang inisiatif ini dengan teliti sekali gus mendorong dirinya datang ke PEDi berkenaan.

Menurut suri rumah itu, dia percaya bahawa kesedaran yang lebih tinggi tentang tujuan PADU akan membawa kepada peningkatan pendaftaran dalam kalangan jiran dan penduduk.

Sementara itu, Pengarah DOSM Kedah, Nadia Marzuki mendapati, pendaftaran PADU didapati agak perlahan namun trend pendaftaran adalah positif dalam kalangan rakyat Kedah.

"Penjawat awam masih dalam proses mengemas kini maklumat mereka. Kami melihat peningkatan dalam pendaftaran dan kemas kini sejak pelancaran PADU," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa aktif menjalankan program capaian tetap, menghasilkan peningkatan harian dalam pendaftaran dan kemas kini Padu.

Tambah Nadia, DOSM berdepan sedikit cabaran dalam proses pendaftaran PADU berikutan akses internet dan bilangan kaunter PEDi fizikal terhad.

"Di Kedah, terdapat 77 pusat PEDi tetapi hanya 12 yang mempunyai kaunter fizikal dengan kebanyakan di lebih banyak kawasan bandar. Bagi kawasan luar bandar, kami sangat bergantung kepada program jangkauan," katanya.

Beliau turut berharap kerjasama orang ramai dalam mempromosikan pendaftaran PADU sama ada di kaunter PEDi atau dalam talian bagi memastikan kejayaan inisiatif itu.

"Kawasan luar bandar ada cabaran. Kami amat bergantung kepada pemimpin masyarakat untuk memaklumkan penduduk setempat dan pasukan PEDi kami memainkan peranan penting kerana hubungan rapat mereka dengan masyarakat," katanya.

PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu dan pendaftarannya dibuka sehingga 31 Mac 2024 bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Sistem itu bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bagi memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data dari pelbagai sumber.

Orang ramai yang ingin membuat pengemaskinian PADU boleh ke pautan www.padu.gov.my.