Hanya 1.6 juta kemas kini maklumat dalam PADU setakat Selasa

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya 1,613,454 individu daripada 30.08 juta orang yang didaftarkan, telah mengemas kini maklumat mereka dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat semalam.

Menurut maklumat dikongsikan dalam Facebook rasmi PADU, sejak dilancarkan 2 Januari lepas, Selangor merekodkan jumlah tertinggi kemas kini maklumat PADU dengan 292,534 orang, diikuti Sarawak (201,399), Johor (164,235), Perak (133,369), dan Sabah (124,375).

PADU dalam hantaran berasingan turut memaklumkan bahawa penjawat awam diminta supaya mengemas kini maklumat dan data dalam sistem PADU selewat-lewatnya 15 Februari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan PADU berkata, sistem itu antara lain bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan bagi memudahkan pengumpulan, penyimpanan, dan pengurusan data dari pelbagai sumber.

Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah lebih baik dan efisien kepada rakyat.

Orang ramai yang ingin membuat pengemaskinian PADU boleh ke pautan www.padu.gov.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: