Jawi warisan kita

A
A
A

BAHASA Melayu unik kerana mempunyai dua jenis tulisan iaitu jawi dan rumi.

Sebelum rumi, bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi yang telah wujud sejak sekitar 1300 Masehi dan dikaitkan dengan ketibaan Islam khususnya dengan kedatangan orang Parsi ke Tanah Melayu ketika itu. Abjad Arab yang diperkenalkan telah diubah suai agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik lisan.Penemuan batu bersurat Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah (1303 Masihi) juga menjadi bukti penggunaan tulisan jawi pada masa itu.

Tulisan jawi ditulis dari kanan ke kiri (sebagaimana tulisan Arab, Parsi, Urdu dan Hebrew) dan ditokok dengan enam huruf yang tiada dalam bahasa Arab iaitu ca, pa, ga, nga, va dan nya.

Tulisan jawi digunakan secara meluas di negeri-negeri kesultanan Melayu pada awal abad ke-15 untuk tujuan surat-menyurat diraja, titah perintah, penulisan puisi dan dalam perhubungan sesama saudagar.

Justeru, bahasa Melayu dalam tulisan jawi adalah bahasa perantaraan seluruh lapisan masyarakat ketika itu sama ada raja, bangsawan, ilmuwan agama mahupun rakyat biasa selain menjadi lambang tradisi kebudayaan dan tamadun Melayu.

Syabas kepada Kementerian Pendidikan yang cuba mempertahankan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu bagi murid sekolah rendah Tahun Empat di sekolah rendah jenis kebangsaan mulai 2020 walaupun mendapat tentangan daripada beberapa pihak.

Saya tidak faham mengapa masih ada pihak yang menentang kerana tulisan jawi sememangnya sebahagian daripada bahasa Melayu. Ia juga hanya melibatkan tiga muka surat dalam buku teks dan tidak melibatkan apa-apa ujian atau peperiksaan pun. Lagi pula, kemahiran membaca dan menulis jawi akan menjadi nilai tambah murid berkenaan. Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkongsi pandangan terhadap keunikan tulisan jawi yang kini semakin dipinggirkan masyarakat akibat peredaran zaman.

Melalui akaun Twitter Seri Paduka, @cheminahsayang, Tunku Azizah bertitah, jika seseorang Melayu tidak pandai menulis jawi, maka teramatlah rugi kerana tulisan abjad ABC adalah universal.

Artikel Berkaitan:

“Jawi kaligrafi ialah sebuah seni macam tulisan Cina menggunakan berus Cina atau orang Itali menggunakan pen kaligrafi. Bukan senang walaupun saya pandai baca jawi, baca al-Quran, tulisan jawi saya tak cantik. Dulu, saya suka baca Utusan Melayu.”

Bagi memartabatkan lagi tulisan jawi, Tunku Azizah berkenan memulakan langkah pertama dengan menciap di Twitter menggunakan tulisan jawi. Menerusi ciapan bertarikh 28 Disember 2019, Tunku Azizah bertitah: “Mulai hari ini saya akan menulis jawi dalam Twitter bagi memperkasakan tulisan jawi warisan kita.”

Perkongsian tersebut menarik perhatian netizen dan sehingga artikel ini ditulis, ia telah dikongsi sebanyak 12,400 ciapan, 28,800 tanda suka dan 573 komen. Saya antara pengikut Tunku Azizah yang memberikan tanda suka untuk ciapan Seri Paduka itu.

Perkongsian Tunku Azizah berjaya menyuntik semangat dan motivasi kepada netizen khususnya masyarakat Melayu untuk memperkasakan tulisan jawi dengan masing-masing menulis menggunakan tulisan jawi di laman sosial. Ramai sahabat saya turut menggunakan tulisan jawi untuk berinteraksi termasuk dalam grup WhatsApp.Terima kasih juga kepada Naib Presiden PKR, Tian Chua yang cuba menenangkan semua pihak berhubung isu tulisan jawi. Beliau menjelaskan bahawa pembelajaran tulisan jawi tidak akan menjejaskan budaya Cina atau Tamil.

Semua pihak yang menentang pengajaran tulisan jawi di sekolah seharusnya melihat langkah memperkenalkan tulisan jawi sebagai satu asimilasi budaya kerana ia usaha memperkenalkan warisan dan identiti negara. Semoga tulisan jawi terus diperkasakan. Jawi warisan kita.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan