Pelajar IPG Kampus Ilmu Khas guna bahasa isyarat iringi bacaan ikrar

Persiapan untuk persembahan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 sedang giat dijalankan semasa tinjauan di Dataran Putrajaya, pada Jumaat. - Foto Bernama
Persiapan untuk persembahan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 sedang giat dijalankan semasa tinjauan di Dataran Putrajaya, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Buat julung kalinya, bacaan ikrar dan Rukun Negara pada sambutan Hari Kebangsaan akan turut diiringi dengan bahasa isyarat yang dikendalikan pasukan khas.

Kelainan itu akan ditampilkan oleh 36 pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini pada 31 Ogos ini yang akan menggunakan bahasa isyarat bagi mengiringi bacaan ikrar dan Rukun Negara lisan.

Tahun ini, bacaan ikrar lisan akan dilakukan oleh 40 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diketuai Muhammad Haikal Roslan, dan kumpulan itu akan berdiri berhadapan dengan pasukan IPG Kampus Ilmu Khas yang akan menyampaikan mesej ikrar dengan bahasa isyarat.

Pensyarah yang juga jurulatih bagi bacaan ikrar pasukan IPG Kampus Ilmu Khas, Saiful Azam Khoo Abdullah berkata, pengenalan bahasa isyarat pada upacara besar-besaran seperti sambutan Hari Kebangsaan membuka ruang bagi memperluaskan bahasa tersebut kepada masyarakat normal.

"Ia secara tidak langsung membuka minda orang ramai untuk mempelajari bahasa isyarat, pada masa sama memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk mengetahui dan mendalami mesej bacaan ikrar nanti,” katanya kepada Bernama ketika tinjauan persiapan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Menurut pensyarah Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) itu, latihan intensif telah dijalankan sejak dua bulan lepas dan pasukannya berazam untuk memberikan yang terbaik pada sambutan Hari Kebangsaan itu nanti.

Pelajar Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) IPG berkenaan, Nur Iman Sorfina Mohd Iza Ney, 21, berkata beliau rasa bertuah apabila dipilih oleh pensyarahnya sebagai ahli pasukan dalam menyampaikan ikrar dalam bahasa isyarat dan berpendapat golongan OKU tidak wajar dipinggirkan.

"Dengan ini, OKU juga dapat merasakan mereka sama seperti orang biasa juga dan tidak rasa terpinggir sangat,” katanya.

Sementara itu, jurulatih sukan lasak dan penyelia bacaan ikrar UPNM Leftenan Kolonel Mustapha Omar (B) berkata, ini kali kedua UPNM diberi tanggungjawab bagi pembacaan ikrar Hari Kebangsaan selepas tahun 2016.

Dengan durasi tiga minit 18 saat, pembaca ikrar UPNM yang terdiri daripada pelajar Akademi Kecergasan Pertahanan dan pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) itu akan mengenakan pakaian tradisional berbilang kaum.

Muhammad Danial Yusofhariyono yang berasal dari Tawau, Sabah berkata, beliau berasa bangga diberi penghormatan sebagai salah seorang pembaca ikrar dari UPNM bagi upacara penting negara dan beranggapan peluang itu tidak mungkin dapat dirasai buat kali kedua.

"Kami sedang melakukan latihan sebaik mungkin. Setakat ini koordinasi antara pelajar UPNM dan IPG itu agak baik dan tiada apa-apa masalah sepanjang kami berlatih,” kata pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa, Diplomasi dan Keselamatan itu.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos.

Ini merupakan kali kelima sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya. Sebelum ini, Putrajaya menjadi lokasi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan pada 2003, 2005, 2018 dan 2019. - Bernama