Nelayan ketagih dadah meningkat di Bachok

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

BACHOK - Penglibatan nelayan dalam kes dadah di daerah ini meningkat kepada seramai 16 individu sepanjang tahun lalu berbanding 11 orang pada tahun sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kesemua mereka ditangkap dalam beberapa operasi yang dijalankan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun.

“Pada tahun 2022, sebanyak 11 nelayan iaitu tujuh ditahan kerana menagih dadah, satu memiliki ketum dan tiga berkait dengan pemilikan dadah.

Mohamad Ismail (kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada keluarga nelayan.
Mohamad Ismail (kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada keluarga nelayan.

“Pada tahun 2023 pula, 16 nelayan yang ditahan termasuk 15 penagih dadah jenis pil kuda manakala satu memiliki dadah,” katanya semasa berucap pada Perasmian Program Community Policing Ketua Polis Bachok bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan Persatuan Nelayan Kawasan Pantai Changgong di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Rakyat Dekat di Hati, Mohd Nasir Said.

Pada majlis itu, Mohamad Ismail turut menyampaikan bakul makanan kepada 65 nelayan yang disumbangkan oleh NGO Rakyat Dekat di Hati.

Ujar Mohamad Ismail, nelayan-nelayan terlibat dengan dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a), 39A(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu turut meminta masyarakat atau penduduk setempat untuk terus bersama-sama pihak polis dalam mengekang gejala dadah.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke balai-balai berhampiran sekiranya mengetahui ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang terlibat dadah untuk bersama-sama menjaga keharmonian dalam masyarakat,” katanya.