Lelaki rempuh anggota JPJ ada lapan kes dadah, jenayah

Seorang anggota penguat kuasa JPJ cedera dirempuh seorang penunggang motosikal dalam satu operasi sekatan jalan raya di KM28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson pada Ahad.
Seorang anggota penguat kuasa JPJ cedera dirempuh seorang penunggang motosikal dalam satu operasi sekatan jalan raya di KM28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON - Penunggang motosikal yang merempuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi sekatan jalan raya di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di sini, pada Ahad mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 12.51 tengah hari daripada seorang pegawai penguat kuasa JPJ.

Menurutnya, motosikal yang ditunggang lelaki berusia 25 tahun itu secara tiba-tiba dipandu laju dipercayai untuk meloloskan diri dan merempuh seorang anggota penguat kuasa JPJ yang sedang membuat pemeriksaan.

"Dia juga didapati tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan sudah tamat tempoh. Proses reman akan dilakukan esok di Mahkamah Port Dickson.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam," katanya pada Ahad.

Sebelum itu, tular video berdurasi lima saat memaparkan anggota JPJ terpelanting dan terhantuk di kepala selepas dilanggar seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri.

Aidi Sham berkata, anggota JPJ tersebut kemudiannya telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan kecil di bahagian kaki dan tangan.

"Tiada kecederaan serius yang dialami oleh anggota tersebut dan dia telah dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Artikel Berkaitan: