Pantai Teluk Bayu hilang seri akibat hakisan

Keadaan hakisan yang berlaku disepanjang laluan antara kedai makan dan kawasan pantai di Pantai Teluk Bayu, Kampung Pachakan, Besut.
Keadaan hakisan yang berlaku disepanjang laluan antara kedai makan dan kawasan pantai di Pantai Teluk Bayu, Kampung Pachakan, Besut.
A
A
A

BESUT - Laluan pesisir pantai sejauh 2 kilometer (km) di sepanjang Pantai Teluk Bayu, Kampung Pachakan di sini rosak akibat masalah hakisan yang berlaku susulan fenomena air laut pasang besar.

Seorang penduduk, Azlieya Rosli, 30, berkata, keadaan itu menjejaskan perniagaan yang diusahakan memandangkan masalah hakisan yang berlaku melibatkan laluan utama pelanggan untuk berkunjung ke gerai makanan di sepanjang pantai itu.

Menurutnya, masalah itu dikatakan berlarutan sejak dua tahun lalu dan keadaan semakin buruk apabila ombak besar melanda ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku pada Disember tahun lalu.

Azlieya menunjukkan kerosakan yang berlaku disepanjang jalan antara gerai makan dan kawasan pantai.
Azlieya menunjukkan kerosakan yang berlaku disepanjang jalan antara gerai makan dan kawasan pantai.

"Sejak hakisan di kawasan ini semakin teruk dan laluan pun rosak hanya tinggal dua warung makanan sahaja yang masih bertahan berbanding kira-kira enam buah kedai sebelum ini. Perniagaan kami merosot kerana kurang mendapat sambutan.

"Kalau dulu pendapatan agak lumayan sehingga boleh mencecah RM1,000 pada hujung minggu, kini nak dapat RM100 sehari pun susah.

"Bukan hanya jalan yang rosak dan musnah, kami juga berdepan masalah kerosakan harta benda dan kedai ini pun mungkin juga runtuh jika masalah ini tidak diatasi," katanya ketika ditemui di Kampung Pachakan, di sini, pada Rabu.

Azlieya memberitahu, sebelum ini pantai itu sering dikunjungi pelancong luar dan masyarakat setempat yang mengambil peluang beriadah dan menjamu selera ketika waktu lapang.

Artikel Berkaitan:

Masalah hakisan yang berlaku menjejaskan keadaan muka bentuk Pantai Teluk Bayu yang menjadi sumber pendapatan penduduk setempat.
Masalah hakisan yang berlaku menjejaskan keadaan muka bentuk Pantai Teluk Bayu yang menjadi sumber pendapatan penduduk setempat.

"Sebelum ini hakisan memang ada tapi tak seteruk sekarang. Dulu orang ramai masih boleh bersantai di tepi pantai. Selepas dibadai fenomena air pasang besar dan angin kuat, sudah tak ramai yang berkunjung ke sini.

"Kami sebagai peniaga pun tanggung rugi ribuan ringgit sebab peralatan berniaga seperti kerusi, meja yang disediakan untuk pelanggan habis dihanyutkan ombak," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Camang Mamat, 40 berkata, sebelum berlaku fenomena air laut pasang besar, jarak antara kedai makan dan kawasan pantai sejauh kira-kira 100 meter.

"Sekarang jarak antara kedai dan pantai semakin rapat dan jalan raya yang memisahkan pantai dan gerai peniaga juga telah runtuh akibat hakisan.

Sampah sarap turut dibawa arus deras ke kawasan pesisir pantai di Pantai Teluk Bayu, Kampung Pachakan, Besut.
Sampah sarap turut dibawa arus deras ke kawasan pesisir pantai di Pantai Teluk Bayu, Kampung Pachakan, Besut.

"Keseluruhan kawasan pantai ini sudah hilang serinya dengan banyak sampah sarap dihanyutkan ke daratan sehingga mencacatkan pemandangan pantai ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berwajib diharap dapat mengambil inisiatif bagi mengatasi masalah hakisan yang berlaku.

"Kita harap sangat ada jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah hakisan yang membelenggu peniaga di kawasan pantai ni.

"Setakat ini kami bergantung sumber rezeki dengan berniaga. Jika pantai ini terus suram, kami terpaksa gulung tikar," ujarnya.