Luluh hati ibu tunggal, harta benda rosak akibat banjir kilat

Seorang penduduk membersihkan pekarangan rumahnya di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang pada Isnin akibat banjir kilat.
Seorang penduduk membersihkan pekarangan rumahnya di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang pada Isnin akibat banjir kilat.
A
A
A

PASIR GUDANG - Hasrat seorang ibu tunggal berpindah dan membina hidup baharu di Kampung Sentosa Damai di sini, musnah apabila rumah sewanya dilanda banjir kilat pada petang Ahad.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Elin, 40, tinggal bersama anak lelakinya berusia 6 tahun di Jalan Damai 8 di kampung itu sejak dua bulan lalu 'terduduk' apabila melihat keadaan rumah sewanya yang dipenuhi lumpur.

"Air banjir naik dalam masa singkat sehingga hampir setengah meter pada petang semalam.

"Saya tak sempat selamatkan perabot dan perkakas rumah kerana diarahkan berpindah segera ke surau kampung berdekatan pada jam 8 malam tadi.

"Apabila air surut pagi tadi saya pulang dan melihat tanah serta lumpur dalam rumah selain barang elektrik semua rosak dan tidak boleh digunakan lagi," katanya ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Al-Muazakkir Kampung Sentosa Damai pada Isnin.

Tiga keluarga ditempatkan di PPS Surau Al-Muazakkir di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang sejak petang Ahad akibat banjir kilat.
Tiga keluarga ditempatkan di PPS Surau Al-Muazakkir di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang sejak petang Ahad akibat banjir kilat.

Sebanyak 10 mangsa banjir melibatkan tiga keluarga dari kampung itu dipindahkan ke PPS tersebut antara 8 sehingga 9 malam Ahad selepas banjir kilat melanda penempatan mereka yang berdekatan sungai.

Elin yang berkerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Kota Masai terpaksa bercuti untuk beberapa hari untuk membersihkan rumahnya.

Artikel Berkaitan:

Dia berterima kasih kepada wakil rakyat dan pihak yang datang melawat serta menghulurkan sumbangan RM200 pada pagi Isnin bagi membantu meringankan bebannya.

Mangsa banjir lain, Mohamad Razak Abdul Hamid, 47, berkata, banjir berlaku secara tiba-tiba, tetapi dia bersyukur sempat menyelamatkan kereta dan motosikal dengan meletakkannya di kawasan atas bukit.

Mohamad Razak membersihkan pekarangan rumahnya di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang pada Isnin selepas dibenarkan pulang dari PPS.
Mohamad Razak membersihkan pekarangan rumahnya di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang pada Isnin selepas dibenarkan pulang dari PPS.

"Barang dalam rumah juga selamat kerana di tempat tinggi. Apabila air surut, kami sekeluarga membuang lumpur dalam rumah dahulu sebelum membersihkan dalam dan persekitaran rumah," katanya.

Pekerja Pelabuhan Johor itu mendakwa, punca banjir kilat disebabkan sungai sudah cetek akibat pasir yang runtuh dan masuk ke dasar selain projek pembinaan lebuh raya berhampiran rumah mereka.

Ahmad Abdul Hamid, 48, pula berkata, sungai dan parit depan rumah mereka terlalu kecil dan tidak dapat menampung jumlah kapasiti air yang banyak apabila berlaku hujan lebat.

"Ini diburukkan lagi dengan tembok parit yang rendah dan apabila air terlalu banyak akan melimpah ke pekarangan rumah.

"Sudah tiga kali banjir kilat berlaku dalam tahun ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!