Ibu terpaksa pinjam susu, anak tunggal terlantar sakit

Siti Noor Mastubaidura (kanan) dan Rilhafizi (kiri) memangku Muhammad Aiman (tengah) yang terlantar.
Siti Noor Mastubaidura (kanan) dan Rilhafizi (kiri) memangku Muhammad Aiman (tengah) yang terlantar.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang ibu terpaksa ‘meminjam’ susu formula khas daripada pesakit terlantar lain bagi memenuhi keperluan anak tunggalnya yang mengalami nasib sama sejak tiga lalu.

Siti Noor Mastubaidura Ariffin, 34, berkata, dia berbuat demikian sejak Ogos tahun lalu kerana kesempitan wang untuk menampung kos susu yang terlalu mahal diperlukan oleh Muhammad Aiman Mohamed, 10.

Menurut suri rumah itu, dia terpaksa berhenti kerja pembantu kedai runcit untuk menjaga kanak-kanak tersebut manakala suaminya, Rilhafizi Mohamad Zukhri, 42, berpendapatan tidak menentu sekitar RM200 seminggu sebagai pemandu jentolak.

“Setin susu formula 860 gram berharga RM105.50, sebulan perlu 14 tin hampir RM1,500, beg susu RM550, lampin pakai buang RM300 manakala tiub susu dan tiub kahak juga perlukan duit untuk sentiasa diganti baharu, semuanya hampir RM3,000.

“Muhammad Aiman kehabisan susu dan saya tidak cukup duit, sebab itu saya pinjam susu daripada kawan yang juga ada anak atau ahli keluarga terlantar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa kunjungan Kelab Cakna Kelantan (KCK) rumah sewanya di Kampung Repek, di sini, pada Selasa.

Siti Noor Mastubaidura (kanan) menunjukkan susu formula yang diperlukan Muhammad Aiman.
Siti Noor Mastubaidura (kanan) menunjukkan susu formula yang diperlukan Muhammad Aiman.

Menurutnya, dia akan menggantikan semula susu tersebut apabila ada wang kelak atau menerima sumbangan daripada mana-mana pihak yang tidak diketahui bila-bila waktunya.

Kata Siti Noor Mastubaidura, Muhammad Aiman pernah menerima sumbangan susu daripada Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) Hospital Raja Perempuan Zainab II sebelum ini, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM500 sebulan selain bantuan one-off RM1,200 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada Jun tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Saya sendiri tidak mahu terlalu bergantung kepada bantuan tetapi buntu kerana tidak boleh meninggalkan Muhammad Aiman sendirian di rumah.

“Saya pernah terfikir untuk membeli mesin jahit dan mengambil upah menjahit secara kecil-kecilan dari rumah sambil menjaganya namun belum ada rezeki lebih untuk dijadikan modal,” katanya.

Siti Noor Mastubaidura memberitahu, anaknya itu disahkan lumpuh seumur hidup selepas mengalami sawan sebanyak empat kali berturut-turut pada Oktober 2021.

“Muhammad Aiman sebelum ini seorang kanak-kanak hiperaktif.

Tiong Lam (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Siti Noor Mastubaidura (dua dari kanan).
Tiong Lam (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Siti Noor Mastubaidura (dua dari kanan).

“Dia menghidap penyakit bengkak otak dan paru-paru kronik sejak lahir itu malah pernah menjadi ketua darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kelantan di Lati sebelum terlantar,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Siti Noor Mastubaidura Ariffin, CIMB Bank 7611250994 atau boleh hubungi talian 014-8324920.

Sementara itu, Pengerusi KCK, Pui Tiong Lam berkata, akan berusaha mengumpul dana untuk memberi sumbangan susu secara bulanan kepada Muhammad Aiman selain menyumbang lampin pakai buang dan barangan makanan kepada keluarga itu.

“Setakat ini, KCK membantu 155 keluarga di seluruh Kelantan termasuk 60 pesakit terlantar berusia antara 10 tahun sehingga 60 tahun dalam kalangan asnaf dan B40 bagi meringankan bebanan mereka,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!