Ibu bapa ibarat ‘superhero’ anak-anak

Iltizam Nurul Syahadah harungi kesulitan demi pendidikan anak-anak

A
A
A

Nurul Syahadah menunjukkan hadiah wang tunai dan kepingan emas yang diterimanya sebagai pemenang Peraduan Genius IQ anjuran PTPTN.
Nurul Syahadah menunjukkan hadiah wang tunai dan kepingan emas yang diterimanya sebagai pemenang Peraduan Genius IQ anjuran PTPTN.

PUCHONG - Tidak mahu tiga anaknya mengalami kesukaran melanjutkan pengajian pada masa depan, pasangan suami isteri, Mohd Khairul Zul Amiri M Razali, 43 dan Nurul Syahadah Md Zain, 37, nekad menabung di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) untuk cahaya mata mereka.

Menurut Nurul Syahadah, simpanan yang dimulakan pada tahun 2018 itu tercetus selepas dia membaca manfaat mengenai skim tersebut di laman Facebook Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Berkongsi kesedaran menyimpan demi masa depan anak-anak, dia yang bekerja di syarikat swasta manakala suaminya bekerja sendiri itu menyifatkan tabungan tersebut merupakan suatu kemestian meskipun berhadapan dengan cabaran tertentu.

Ketiga-tiga anaknya iaitu Adeera Azzahra, 7, Muhammad Adam Adha, 5, dan Muhammad Anaz Zuhdi, 3, masing-masing sudah menabung di Simpan SSPN.

“Pengalaman saya sebagai peminjam PTPTN banyak memberi kesedaran kepada saya perlunya membuat simpanan untuk anak-anak demi masa depan pendidikan mereka. Saya tahu bertapa sulitnya mahu sambung belajar tanpa sumber kewangan.

“Saya akui agak terlambat buka akaun Simpan SSPN kerana pada masa itu anak sulung saya sudah berusia dua tahun. Ketika itu, saya ambil pakej simpanan paling rendah mengikut kemampuan iaitu RM30 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nurul Syahadah, dia dan suaminya mengakui agak terbeban untuk memastikan deposit Simpan SSPN anak-anak berjalan lancar setiap bulan terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Namun, mahu atau tidak katanya, simpanan itu mesti diteruskan demi masa depan anak-anaknya.

Komitmen Nurul Syahadah terhadap ketiga-tiga anaknya itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya memenangi tempat pertama Peraduan Genius IQ PTPTN sekali gus menerima hadiah wang tunai berbentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM5,000 bersama tiga gram kepingan emas.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid semasa berkunjung ke kediaman Nurul Syahadah di sini.

Syukur

Ahmad Dasuki (kiri) menyampaikan hadiah wang tunai dan kepingan emas kepada Nurul Syahadah sempena Peraduan Genius IQ PTPTN.
Ahmad Dasuki (kiri) menyampaikan hadiah wang tunai dan kepingan emas kepada Nurul Syahadah sempena Peraduan Genius IQ PTPTN.



Dalam pada itu, Nurul Syahadah menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada PTPTN yang memilihnya sebagai pemenang peraduan tersebut.

Menganggap ia sebagai rezeki anak-anak, sebahagian hadiah kemenangan itu katanya akan disalurkan ke dalam akaun Simpan SSPN manakala selebihnya akan digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan ketiga-tiga anaknya itu.

Malah, dia juga menyifatkan usaha PTPTN mewujudkan Simpan SSPN satu langkah yang terbaik dalam membantu para ibu bapa membuat perancangan kewangan pendidikan anak-anak.

“Saya dan suami juga mempunyai akaun Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang mana saya lihat instrumen simpanan pendidikan ini sangat bagus. Saya tertarik untuk menyimpan di Simpan SSPN kerana terdapat pelbagai keistimewaan dan manfaat yang cukup menarik,”jelasnya yang turut berkongsi kelebihan Simpan SSPN bersama ahli-ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Saranan

Pada masa sama, Nurul Syahadah menyarankan kepada para ibu bapa lain yang masih belum membuka akaun Simpan SSPN supaya memulakan segera untuk manfaat masa depan pendidikan anak-anak mereka.

Katanya, peluang yang disediakan oleh PTPTN tiada ditawarkan di mana-mana tempat yang mana ia harus dimulakan dengan segera lebih-lebih lagi ketika di awal kelahiran anak.

“Macam pengalaman saya sebelum ini susahnya nak sambung belajar sebab tidak sumber kewangan melainkan dengan meminjam. Jika buat Simpan SSPN dari awal, kita tidak perlu lagi meminjam untuk anak-anak belajar,” tegasnya.

Bulan Menabung SSPN (BMS) 2023

No Image Caption



Mengulas mengenai BMS 2023, Nurul Syahadah memuji inisiatif PTPTN yang mengadakan program berkenaan pada Oktober setiap tahun bagi menggalakkan penabungan dalam kalangan ibu bapa.

“Bagi saya BMS 2023 ini sangat baik kerana dilaksanakan menerusi konsep jelajah merentasi 14 negeri di lokasi terpilih seluruh Malaysia setiap minggu. Dengan cara ini, ia dapat beri pendedahan yang meluas kepada ibu bapa pentingnya buat persediaan simpanan melalui Simpan SSPN.

“Simpan SSPN ini boleh kita anggapkan sebagai ‘penyelamat’ masa depan pendidikan anak-anak. Banyak manfaat yang kita tidak terfikir pun,” ujarnya.

Simpan SPPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin Kerajaan.

Sementara itu, BMS 2023 merupakan platform yang digerakkan oleh PTPTN bagi menggalakkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat di Malaysia manakala penganjurannya bersempena dengan Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang diraikan pada 31 Oktober setiap tahun.

Maklumat lanjut mengenai BMS 2023 boleh didapati menerusi www.ptptn.gov.my/BMS2023.